Education

Pelajar UUM sertai UM Job Fest 2026 perkasa kebolehpasaran graduan

Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal

KUALA LUMPUR, 18 Mei 2026: Seramai 20 pelajar daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program UM Job Fest 2026 yang berlangsung di Universiti Malaya pada Khamis lalu.

Program anjuran Graduate Employability and Career Centre (GECC) Universiti Malaya (UM) ini menghimpunkan pelbagai syarikat dan industri terkemuka bagi membuka peluang kerjaya kepada para graduan serta pelajar.

Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah berkata, penyertaan pelajar UUM dalam program ini bertujuan memberi pendedahan awal mengenai dunia pekerjaan, peluang latihan industri, serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan jaringan profesional bersama pihak industri.

Selain itu, menurutnya, pelajar turut berpeluang menghadiri sesi perkongsian kerjaya, berinteraksi secara langsung dengan majikan, serta mendapatkan maklumat berkaitan peluang pekerjaan, latihan industri dan perkembangan industri semasa.

“Penyertaan pelajar dalam program seperti ini amat penting dalam membantu mereka memperoleh pengalaman sebenar berkaitan dunia pekerjaan serta memahami kehendak industri semasa.

“Saya berharap agar pelajar dapat memanfaatkan peluang yang diperoleh sepanjang program bagi meningkatkan potensi diri dan lebih bersedia untuk memasuki alam kerjaya selepas tamat pengajian,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, pelajar menunjukkan komitmen dan semangat yang tinggi dalam meneroka peluang kerjaya yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat yang mengambil bahagian. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi temuduga terbuka, semakan resume, ceramah kerjaya serta sesi networking bersama wakil industri. Penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti tersebut sedikit sebanyak membantu meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran insaniah yang diperlukan dalam alam pekerjaan.

Program ini juga menjadi platform terbaik kepada pelajar untuk memahami kehendak dan keperluan majikan pada masa kini, di samping memperoleh gambaran lebih jelas mengenai hala tuju kerjaya selepas tamat pengajian. Melalui penyertaan dalam program seumpama ini, pelajar dapat mempersiapkan diri dengan lebih awal agar lebih kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

Kehadiran delegasi pelajar UUM ke program UM Job Fest 2026 turut mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuhkan aspek kebolehpasaran graduan melalui penglibatan aktif pelajar dalam program pembangunan kerjaya di peringkat nasional.

Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memberi lebih banyak manfaat dan peluang kepada pelajar untuk membina jaringan profesional serta memperluaskan pengetahuan berkaitan industri dan kerjaya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button