Campus

UUM Perkukuh Agenda Kelestarian Global Menerusi Kem ASEAN+3 di Thailand

Gambar oleh: Maisarah Adlina Mior Ahmad Najmi

BANGKOK, 15 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus melebarkan sayapnya di persada antarabangsa dengan menyertai Program ASEAN+3 Global Network and Sustainable Community Camp 2026 yang berlangsung dengan jayanya dari 10 hingga 14 Mei lalu di ibu negara Thailand.

Program anjuran Bansomdejchaopraya Rajabhat University ini telah menjadi platform berprestij yang menghimpunkan barisan ahli akademik dan pemimpin pelajar dari seluruh rantau ASEAN+3 bagi berkongsi idea serta amalan terbaik yang dalam pengurusan sisa, pembangunan komuniti lestari, dan kelestarian alam sekitar.

Delegasi UUM diketuai oleh Puan Shahrul Niza Said, Pengarah Executive Education and Professional Development (EEPD), Awang Had Salleh Graduate School of Arts and Sciences. Turut menggalas tanggungjawab mewakili universiti ialah dua pemimpin pelajar iaitu Muhammad Najmudin Nadzri dari Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT) dan Maisarah Adlina Mior Ahmad Najmi dari Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa TNB.

Sepanjang lima hari program berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai inisiatif praktikal yang meliputi lawatan lapangan ke Komuniti Sifar Sisa Ban Rang Phlap di Wilayah Ratchaburi, Mahidol University, dan Komuniti Khlong Lat Phachi. Menerusi lawatan tersebut, para peserta didedahkan kepada pelbagai pendekatan inovatif dalam kitar semula, pengkomposan, pengurusan sisa makanan, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, serta pelaksanaan model ekonomi kitaran yang dijayakan oleh komuniti tempatan.

Kemuncak utama program ini adalah penganjuran Mini Conference: ASEAN+3 Global Network and Sustainable Community Camp 2026. Persidangan ini telah membuka ruang interaksi eksklusif antara peserta dengan pakar-pakar industri dari Scholars of Sustenance Thailand (SOS Thailand), Bangkok Metropolitan Administration (BMA), serta barisan ketua komuniti tempatan.

Sesi ini memberi penekanan yang mendalam terhadap peranan kritikal badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat dalam merangka penyelesaian isu pengurusan sisa. Melalui perkongsian ini, peserta dapat melihat secara jelas bagaimana sinergi antara pihak berkuasa tempatan dan inisiatif pacuan komuniti mampu menterjemahkan dasar kelestarian kepada tindakan yang praktikal dan berkesan.

Lebih membanggakan, penglibatan delegasi UUM di pentas persidangan tersebut tidak terhad sekadar sebagai peserta. Dua wakil pelajar UUM, Muhammad Najmudin dan Maisarah Adlina, turut diberi penghormatan untuk membentangkan inisiatif dan amalan pengurusan sisa yang dipraktikkan di peringkat universiti kepada perwakilan antarabangsa.

Menurut Puan Shahrul Niza Said, pendedahan dan pengalaman lapangan yang diraih di Thailand telah menyumbang pelbagai idea bernilai yang bakal diadaptasi bagi terus memperkukuh ekosistem kelestarian di UUM.

“Sejajar dengan status UUM sebagai sebuah kampus hijau, universiti telah mengambil pelbagai langkah proaktif. Kami amat berbangga menjadi perintis di Malaysia dengan penubuhan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (Drive-Through Recycling Centre), sebuah fasiliti inovatif yang terbukti memudahkan warga kampus menguruskan bahan kitar semula secara sistematik dan berkesan.

“Pengisian program di Bangkok ini ternyata telah menyuntik inspirasi baharu untuk kami memperluaskan lagi kapasiti usaha sedia ada. Fokus pemerhatian kami kini terarah kepada potensi besar dalam bidang pengkomposan berskala lebih besar, khususnya melibatkan sisa makanan, serta inisiatif guna semula bahan buangan. Pada masa yang sama, kami berhasrat untuk menterjemahkan ilmu ini melalui jalinan kerjasama pendidikan dan kesedaran yang lebih erat bersama komuniti setempat di sekitar Sintok dan Changlun,” jelas beliau.

Menurut Muhammad Najmudin Nadzri, kepimpinan anak muda dan pembinaan jaringan serantau menjadi paksi utama dalam mendepani cabaran alam sekitar. Beliau menegaskan bahawa mahasiswa mempunyai peranan yang sangat signifikan untuk bangkit memimpin dan mengangkat isu kelestarian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Bergaul dan bertukar pendapat dengan belia dari pelbagai negara ASEAN+3 menyedarkan saya bahawa krisis pengurusan sisa dan isu kelestarian adalah tanggungjawab bersama yang merentasi sempadan. Kita tidak boleh lagi bersikap pasif. Kami perlu menggalas tanggungjawab sebagai ejen perubahan yang berani ke hadapan untuk mendidik, menginspirasi, dan menggerakkan rakan sebaya agar lebih cakna serta mempraktikkan sasaran di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs),” tegasnya.

Bagi Maisarah Adlina, beliau melihat potensi besar untuk menterjemahkan amalan kelestarian ini bermula dari peringkat asas, iaitu melalui pengurusan sisa pepejal yang proaktif di kawasan penginapan siswa.

“Melihat sendiri bagaimana komuniti di Thailand secara kolektif menguruskan sisa makanan dan mempraktikkan gaya hidup ‘sifar sisa’ sangat mengagumkan. Hasrat besar untuk membawa pulang modul pengasingan sisa pada punca ini dan mengaplikasikannya di peringkat INASIS. Kediaman pelajar seharusnya menjadi titik mula untuk kita memupuk budaya kitar semula yang lebih efektif, di mana mahasiswa dilatih secara proaktif untuk mengasingkan sisa pepejal dan sisa organik secara harian,” ujar beliau.

Delegasi UUM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bansomdejchaopraya Rajabhat University atas layanan mesra serta penganjuran program yang amat bermanfaat dalam memupuk pembelajaran akademik dan kerjasama serantau.

Penyertaan UUM dalam program ini bukanlah sekadar lawatan akademik biasa, sebaliknya ia merupakan manifestasi teguh terhadap komitmen berterusan universiti dalam memacu agenda pengantarabangsaan. Melalui penglibatan strategik di peringkat serantau dan global sebegini, UUM terus melangkah gagah ke hadapan dalam menjamin pembangunan holistik mahasiswa, sekali gus memperkasa elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) demi kelestarian alam dan kesejahteraan generasi masa hadapan. – Muhammad Najmudin Nadzri

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button