General

Peluang kerjaya masih terbuka, Perodua ambil 2,000 staf baru dalam dua tahun ini

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 18 Mei 2026: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad menyifatkan keadaan ekonomi sekarang masih positif dan peluang pekerjaan masih banyak.

Dalam ucapan perasmian yang penuh inspirasi sempena Karnival Kerjaya UUM 2026, beliau berkata, graduan yang bakal melangkah ke alam pekerjaan ini akan menepis mengenai pasaran kerja yang dikatakan semakin mencabar.

Menurutnya, landskap industri negara masih dinamik dan sentiasa memerlukan suntikan tenaga muda yang segar.

Beliau mendedahkan bahawa Perodua sendiri mempunyai pelan pengambilan tenaga kerja yang sangat agresif dalam tempoh terdekat ini.

“Peluang pekerjaan sebenarnya masih banyak di luar sana. Jangan mudah berputus asa. Bagi pihak Perodua, kami telah mengambil seramai 2,000 staf baharu dalam tempoh dua tahun ini,” kongsi beliau sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Menyentuh soal kriteria pemilihan calon, beliau sempat menitipkan pesanan emas yang perlu diambil perhatian serius oleh seluruh pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).

Beliau berkata, dunia industri hari ini tidak lagi memandang kecemerlangan akademik atau portfolio pengetahuan semata-mata, sebaliknya meletakkan karakter dan sikap sebagai penanda aras utama.

Katanya, segala ilmu teknikal dan teori boleh diajar serta dipelajari apabila menjejaki alam pekerjaan.

Menurutnya, sikap yang positif, keinginan tinggi untuk belajar (hunger for success), integriti, dan kebolehan bekerja dalam pasukan adalah kualiti yang paling dicari oleh majikan.

“Kami mahu mengambil bakat-bakat baharu yang sedia dibentuk.

“Di Perodua, kami lebih mengutamakan sikap (attitude), selain daripada pengetahuan yang anda bawa dari universiti. Pengetahuan tanpa sikap yang betul tidak akan mampu membawa organisasi pergi lebih jauh,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dalam ucapan alu-aluannya berkata, karnival berkenaan merupakan manifestasi usaha UUM dalam membina ekosistem kerjaya yang holistik.

Menurutnya, UUM telah mencatatkan pencapaian membanggakan dengan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 96.6 peratus pada tahun 2024, meningkat berbanding 95 peratus pada tahun sebelumnya.

Katanya, peluang dan pendedahan seumpama itu amat penting dalam konteks penyesuaian aras kelayakan serta kualiti kompetensi graduan dengan keperluan sebenar bakal majikan yang mewakili pelbagai sektor industri.

“Fokus perlu diberikan kepada penguasaan empat kemahiran kritikal yang sangat dituntut dalam pasaran global masa kini iaitu kemahiran digital (digital skills), pemikiran tangkas (agile thinking skills), kemahiran interpersonal dan komunikasi serta keupayaan operasi global (global operating skills).

“Terima kasih atas kerjasama erat semua pihak dalam menyediakan ruang dan peluang demi masa depan yang lebih cerah buat graduan kita,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho pula menekankan kepentingan memperkukuhkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan, sektor korporat dan masyarakat demi manfaat rakyat Malaysia, khususnya golongan graduan.

Menurutnya, kerjasama strategik itu penting dalam memperluaskan peluang pendidikan, pembangunan bakat serta memperkukuhkan hubungan antara akademia dan industri.

Majlis tersebut turut menghargai sumbangan penaja dan rakan kerjasama yang membantu menjayakan program berkenaan, termasuk JobStreet.

Program itu dilihat sebagai platform penting dalam mempererat hubungan strategik serta membuka lebih banyak peluang kolaborasi pada masa hadapan melibatkan universiti dan industri.

Lebih 40 pempamer melibatkan majikan dari seluruh negara menyertai Karnival Kerjaya UUM 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button