SOE UUM santuni komuniti mualaf melalui program ambang Aidiladha di PUSBA
Berita dan gambar Muhd Zulhilmi Haron
SUNGAI PETANI, 17 Mei 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program “Ambang Aidiladha: Santunan Qalbu Mualaf” di Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA), Sungai Petani, Kedah bagi memperkukuh kefahaman komuniti mualaf berkaitan penghayatan Aidiladha dan nilai pengorbanan dalam Islam.

Program yang melibatkan kira-kira 50 orang peserta mualaf itu dikendalikan oleh pelajar kursus SGDI5133 Fiqh Kontemporari daripada SOE UUM dengan bimbingan pensyarah kanan, Dr. Muhd Zulhilmi Haron selaku ketua program.
Penganjuran program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengertian Aidiladha, hikmah ibadah korban serta penghayatan nilai keikhlasan, pengorbanan dan ketaatan kepada Allah SWT dalam kehidupan seorang Muslim.

Selain itu, peserta turut didedahkan dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS melalui pendekatan santai, interaktif dan berasaskan pengalaman.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai aktiviti kerohanian dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) seperti “Ice Breaking: Salam Ukhuwwah”, “Jambatan Pengorbanan” dan sesi refleksi hati “Aku Belajar Daripada Korban” yang memberi ruang kepada peserta berkongsi pengalaman serta memahami konsep pengorbanan dengan lebih mendalam.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada pihak PUSBA yang menyambut baik usaha SOE UUM dalam mendekati komuniti mualaf melalui pengisian berbentuk dakwah dan pembangunan insaniah.
Pihak PUSBA turut mencadangkan agar program berkonsep Aidiladha dilaksanakan bagi memberi penghayatan yang lebih dekat kepada peserta berkaitan ibadah korban dan sambutan Aidiladha.
Menurut Dr. Muhd Zulhilmi Haron, program seumpama ini bukan sahaja membantu peserta memahami ajaran Islam secara lebih dekat malah berperanan memperkukuh ukhuwah antara komuniti mualaf dan masyarakat Islam.
Program ini juga mencerminkan komitmen SOE UUM dalam memperkasa pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) melalui pelibatan langsung pelajar bersama komuniti selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara yang menekankan integrasi ilmu, kemahiran insaniah dan nilai kemasyarakatan.



