General

Perodua pacu era kenderaan elektrik (EV): Dato’ Sri Zainal Abidin kongsi hala tuju dengan pelajar, staf UUM

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 18 Mei 2026: Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) bergema hari ini dengan amanat inspirasi daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad dalam satu sesi CEO Talk yang padat dengan wawasan dan inovasi masa hadapan.

Membawakan topik “Peluang EV: Bagaimana Perodua Bersedia untuk Gangguan Perniagaan Seterusnya” (The EV Opportunity: How Perodua is Preparing for the Next Business Disruption), beliau membawa warga UUM menyelami anjakan paradigma dan evolusi landskap automotif negara.

Mengupas trend mobiliti global, Dato’ Sri Zainal menjelaskan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) merupakan satu “gangguan perniagaan” yang didorong oleh pelbagai faktor seperti penurunan kos bateri, peraturan kerajaan, dan perubahan tingkah laku pengguna.

Sebagai jenama automotif nombor satu di Malaysia selama lebih dua dekad, Perodua telah diberi mandat oleh kerajaan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) sebagai “Juara” dan “Peneraju” untuk memangkin pertumbuhan ekosistem EV menjelang tahun 2025.

Komitmen ini terbukti apabila Perodua berjaya melancarkan model Battery Electric Vehicle (BEV) tempatan pertama Malaysia iaitu QV-E pada 1 Disember 2025.

Dato’ Sri Zainal berkongsi dengan rasa bangga bahawa pembangunan teknologi ini telah melibatkan 266,000 jam tenaga kerja manusia dan dikeluarkan di kilang berteknologi tinggi baharu, Smart Mobility Plant. Model QV-E ini dikuasakan oleh bateri 52.5 kWh LFP yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 445 kilometer.

Namun, katanya, yang penting bagaimana Perodua sedang merombak model perniagaannya secara total. “EV hanyalah satu contoh, ia bukan destinasi akhir,”

Perodua kini beralih daripada sekadar pengeluar kereta tradisional kepada penyedia “Mobiliti sebagai Gaya Hidup”.

Melalui pengenalan aplikasi super P Circle dan penerapan konsep Mobility as a Service (MaaS), Perodua kini mengintegrasikan pengalaman pelanggan merentasi platform digital, pembiayaan yang lancar dan perkhidmatan pintar yang melangkaui pemilikan kenderaan secara konvensional.

Menyedari landskap masa depan yang penuh cabaran, Dato’ Sri Zainal turut membentangkan enam tonggak strategik di bawah Rangka Kerja Ketahanan Ekonomi Komprehensif Perodua.

Ia bukan sahaja merangkumi elektrifikasi, malah memfokuskan kepada ketersambungan dan autonomi, penyepaduan strategik dengan syarikat GLC seperti TM dan Petronas, serta pembangunan bakat.

Mengakhiri sesi yang memukau ribuan pelajar yang hadir, Dato’ Sri Zainal Abidin meninggalkan satu pesanan yang cukup mendalam untuk bakal pemimpin masa hadapan keluaran UUM:

“Masa depan bukan milik mereka yang paling berbakat. Ia juga bukan milik mereka yang paling bernasib baik. Masa depan adalah milik mereka yang mempunyai kebijaksanaan untuk melihatnya (perubahan) datang dan keberanian untuk bersedia menghadapinya, jauh sebelum orang lain menyedari ia diperlukan.

“Jadilah orang itu. Bangunkan pandangan jauh anda. Miliki masa depan anda,” katanya.

Sebelum Sesi CEO Talk hari ini, beliau merasmikan Karnival Kerjaya UUM 2026 dan pada sebelah petang pula melancarkan penjenamaan Inapan Siswa (Inasis) Perodua, menggantikan Inasis Petronas.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button