UUM bantu penjenamaan strategik keusahawanan komuniti Telok Kandis
Gambar Shamsaimi Ezil
ALOR SETAR, 17 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM), menerusi pelaksanaan Kajian Penjenamaan Inap Desa dan Produk Usahawan Kampung Telok Kandis, terus memperkukuhkan komitmennya sebagai institusi pemangkin pembangunan komuniti dengan meningkatkan potensi pelancongan desa dan sosioekonomi penduduk.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, inisiatif itu membuktikan bahawa sesebuah universiti bukan hanya berperanan sebagai gedung ilmu tetapi terlibat dalam pembangunan komuniti melalui pemindahan pengetahuan dan kepakaran kepada komuniti.
“UUM sentiasa menitikberatkan usaha memperkukuh jaringan hubungan universiti dan masyarakat melalui perkongsian ilmu, penyelidikan dan pemindahan kepakaran. Kajian Penjenamaan Inap Desa dan Produk Usahawan Kampung Telok Kandis ini merupakan salah satu contoh terbaik bagaimana hasil kajian dapat membantu langkah penjenamaan semula sektor pelancongan desa selaun membuka peluang baharu kepada penduduk Kampung Telok Kandis.
“Diharapkan, melalui usaha itu, ia dapat meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi penduduk secara berterusan. Pelancongan desa dan produk usahawan kampung mempunyai pasaran dan potensi yang besar. Kajian ini dapat membantu dari segi penjenamaan strategik dan peningkatan pemasaran produk,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan dan Penyerahan Tanda Nama Kepada Pengusaha Inap Desa dan Usahawan Teluk Kandis, semalam.

Sementara itu, Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Rafeah Mat Saat berkata, kajian yang dilaksana di Kampung Telok Kandis ini bermatlamat mengenal pasti cabaran dan peluang bagi membolehkan ia berkembang sebagai model kejayaan pelancongan inap desa.
Pendekatan utama tertumpu kepada pembangunan infrastruktur, peningkatan kemahiran usahawan dan pemeliharaan budaya sebagai salah satu produk pelancongan yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi penduduk.

“Walaupun majoriti penduduk kampung ini terlibat dalam aktiviti pertanian seperti penanaman padi sebagai sumber utama, mengusahakan perniagaan makanan kecil-kecilan seperti penghasilan kerepek, makanan sejuk beku dan pertanian, Telok Kandis sebenarnya mempunyai potensi besar untuk dibangunkan lagi sebagai destinasi inap desa di Kedah.
“Cabaran utama yang perlu diatasi adalah keterbatasan sumber kewangan, kekurangan kemudahan untuk pelancong dan perancangan pembangunan pelancongan desa,” katanya.
Menurut wakil penduduk Kampung Telok Kandis, Che Gamat Abdullah, perkara tersebut telah dibincangkan bersama komuniti dan pasukan penyelidik UUM dalam usaha menjenamakan pelancongan desa dan produk usahawan bagi meningkatkan potensi Kampung Telok Kandis.
Jelas Che Gamat, penglibatan UUM dalam projek ini memberi harapan baharu kepada komuniti terbabit bagi menjadikan kampung tersebut sebagai destinasi inap desa utama di negeri ini selain peningkatan produk usahawan yang mampu menjadi sumber pendapatan kepada komuniti.



