Campus

Pertandingan Debat UniUTAMA 2026 perkasa budaya intelektualisme mahasiswa UUM

Berita dan gambar oleh: Muhammad Shahrull Irfan Md Shukri

SINTOK, 16 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh agenda kecemerlangan mahasiswa melalui penganjuran Pertandingan Debat UniUTAMA: Piala Dato’ Ramli Mohd Tahir Tahun 2026 (DUPDAR’26) yang telah berlangsung dengan jayanya pada 15 hingga 16 Mei 2026 bertempat di Pusat Asasi Pengurusan dan Dewan Seminar, Kompleks Konvensyen UUM.

Program berprestij ini dianjurkan oleh Unit Debat Bahasa Melayu (UDBM), Kelab Pengucapan Awam dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT) serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UUM.

Penganjuran ini selaras dengan usaha universiti dalam memperkukuh pembentukan mahasiswa yang berdaya fikir kritis, berkemahiran komunikasi tinggi serta berjiwa kepimpinan.

Bertemakan “Menyemai Intelektualisme, Membina Masyarakat Inklusif”, yang berfokuskan pemerkasaan golongan-golongan rentan dalam arus semasa.Pertandingan ini telah menghimpunkan 20 pasukan yang terdiri daripada 17 pasukan mewakili Inapan Siswa UUM serta 3 pasukan IPT luar Zon Utara, iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Penyertaan ini mencerminkan keterbukaan UUM dalam memperluas jaringan kolaborasi serta memperkasa budaya debat dalam kalangan mahasiswa IPT. Penganjuran pertandingan ini turut mendapat sokongan penaja utama, YBhg. Dato’ Haji Ramli Mohd Tahir, alumni UUM serta Managing Director KDEB Waste Management.

Turut menyokong dan menaja program ini ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat Alumni UUM, Institut Sosial Malaysia, UUM Holdings Sdn. Bhd. dan Anar Paper Sdn. Bhd., yang bersama-sama menyumbang kepada kejayaan penganjuran.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengurus SELECT, Farhan Ismail yang mewakili Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM. Beliau menegaskan bahawa penganjuran debat ini bukan sahaja menjadi platform pengukuhan intelektual mahasiswa, malah turut memperkukuh nilai inklusiviti, toleransi serta penghormatan terhadap kepelbagaian pandangan.

Pengarah DUPDAP’26, Mirza Hidayat, turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, khususnya penaja dan rakan strategik yang sentiasa komited menyokong pembangunan bakat mahasiswa UUM.

Perdebatan akhir menyaksikan pertembungan sengit antara Inapan Siswa Malaysia Airlines (MAS) UUM dan Inapan Siswa Tradewinds UUM dengan usul “Dewan Ini Percaya Inisiatif Pemeliharaan Alam Sekitar Perlu Memfokuskan Komuniti Berbanding Industri.” Pertandingan berlangsung dengan penuh dinamik, menonjolkan keupayaan analitikal, hujah bernas serta kematangan intelektual para peserta.

Inapan Siswa Malaysia Airlines (MAS) UUM telah dinobatkan sebagai johan dan membawa pulang wang tunai RM1,000, piala pusingan dan piala iringan, manakala Inapan Siswa Tradewinds UUM sebagai naib johan membawa pulang wang tunai RM750 dan piala iringan. Tempat ketiga bersama disandang oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), masing-masing menerima wang tunai RM500 dan piala iringan.

Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan dimenangi oleh Nuranis Athirah (Universiti Malaysia Perlis – UniMAP), manakala Anugerah Pendebat Terbaik Pusingan Akhir disandang oleh Thaqif Razip (Inapan Siswa Tradewinds), masing-masing membawa pulang wang tunai RM200 serta piala iringan.

Majlis penutup turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Shahrul Rizal Hashim serta para pengetua Inapan Siswa UUM, sekali gus menyerlahkan lagi prestij penganjuran program ini.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button