Hubungan strategik Malaysia-Amerika jadi fokus wacana Nur Azman Rahim
Gambar Muhammad Fuad Hamid
SINTOK, 18 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi membuktikan peranannya sebagai medan melahirkan tokoh diplomasi negara apabila menerima kunjungan Setiausaha Bahagian Amerika, Nur Azman Rahim yang merupakan mantan Duta Besar Malaysia ke Argentina dalam satu sesi perkongsian bertajuk “Malaysia’s Strategic Relations and Foreign Policy Positioning” yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dekan SOG, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf berkata, program itu menampilkan Nur Azman Rahim yang kini merupakan Setiausaha Bahagian Amerika, Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) bagi berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai kedudukan strategik Malaysia dalam hubungan antarabangsa, khususnya melibatkan rantau Amerika Utara, Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Menurutnya, kehadiran beliau ke UUM diibaratkan “bagai sirih pulang ke gagang” apabila kembali semula ke alma mater yang pernah menjadi medan pembentukan awal kepimpinan dan pemikiran beliau sebelum meniti kerjaya dalam bidang diplomasi antarabangsa.
Dalam sesi tersebut, Nur Azman menjelaskan bahawa dasar luar Malaysia sentiasa berteraskan kepada prinsip menjaga kedaulatan negara, memperkukuhkan hubungan diplomatik, serta memastikan Malaysia terus memainkan peranan sebagai negara yang konstruktif di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, ASEAN kekal menjadi tunjang utama dasar luar negara, namun Malaysia juga giat memperkukuhkan hubungan strategik dengan negara-negara di benua Amerika melalui kerjasama perdagangan, teknologi, tenaga hijau, pertahanan serta hubungan rakyat.
Beliau turut menghuraikan perkembangan hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat yang telah dipertingkatkan kepada Comprehensive Strategic Partnership (CSP) pada 2025, selain memperincikan hubungan strategik Malaysia dengan Kanada, Brazil, Argentina, Cuba dan Venezuela.
Antara fokus utama kerjasama yang diketengahkan termasuk perdagangan semikonduktor, teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI), industri halal, pertanian serta tenaga boleh diperbaharui yang dilihat mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada Malaysia.

Pada masa sama, Nur Azman turut menekankan kepentingan diplomasi strategik dan komunikasi antarabangsa yang berkesan dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global ketika ini.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar dan warga akademik yang berpeluang memahami dengan lebih dekat realiti hubungan antarabangsa dan cabaran diplomasi moden.
Pihak penganjur turut menyifatkan kehadiran alumni UUM itu sebagai satu inspirasi besar kepada pelajar untuk terus berani meneroka bidang kepimpinan global dan diplomasi antarabangsa, selari dengan aspirasi universiti melahirkan graduan bertaraf dunia. – Prof. Dr. Ahmad Zubir Ibrahim



