Education

IBS dan KWSP mantapkan pengurusan kewangan 212 pelajar IPG Kedah Darul Aman

Berita dan gambar Mohd Saharudin Shakrani

JITRA, 19 MEI 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah berjaya menganjurkan Program Hari Celik Kewangan (HACK) IPT 2026, baru-baru ini.

Pengerusi Program HACK IPT 2026, Mohd Saharudin Shakrani berkata, program berimpak tinggi ini berlangsung bersama-sama pihak Institut Pendidikan Guru Kedah Darul Aman membabitkan 212 pelajar tahun akhir dari pelbagai jurusan bidang perguruan.

Menurutnya, antara pengisian utama program adalah sesi perkongsian ilmu bertajuk “Perancangan Kewangan Peribadi – Gaji Pertama & Waspada Scam” disampaikan oleh Dr. Amirul Haqeem bin Abd Ghani yang memberi pendedahan awal kepada bakal pendidik.

“Penganjuran program seumpama ini membuktikan komitmen berterusan IBS UUM dalam memupuk kesedaran pengurusan kewangan yang mampan dalam kalangan generasi muda.

“Pendedahan yang holistik ini amat penting bagi mempersiapkan bakal guru dengan ilmu perancangan kewangan yang utuh sebelum memasuki alam pekerjaan. Sinergi strategik antara akademia dan agensi seperti ini wajar diteruskan untuk manfaat kelangsungan komuniti.,” katanya.

Turut diadakan adalah satu sesi taklimat dan penerangan interaktif bersama wakil daripada pihak KWSP Cawangan Alor Setar.

Seorang peserta berkata, perkongsian yang sangat bermanfaat dari segi pengurusan kewangan untuk jangka masa yang panjang terutama sekali buat bakal-bakal guru yang akan menerima gaji pertama, sambil berpendapat bahawa program ini perlu dilakukan dengan lebih kerap bagi menimbulkan kesedaran kepada bakal guru-guru.

Selain sesi ceramah, program ini turut dimeriahkan dengan pembukaan reruai pameran oleh pihak KWSP dan juga STF, IBS, UUM. Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan untuk para peserta termasuklah inisiatif pendaftaran akaun KWSP secara terus di lokasi. Pelajar juga berpeluang menyertai pelbagai permainan yang direka khusus untuk menguji dan memantapkan tahap celik kewangan mereka.

Turut menjayakan inisiatif literasi ini ialah barisan pensyarah IBS iaitu Dr. Mohamad Yazid Isa, Dr. Tubagus Thresna Irijanto dan Dr. Nor Syahidah Ishak dan Khairul Anuar Adnan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button