Campus

BDMSOC anjur Program BDM Exam Ready Kit bantu persediaan hadapi peperiksaan

Gambar Nur Raihan Yasmin Mohd Khusyairi

SINTOK, 12 Julai 2026: Persatuan Pengurusan Pembangunan (BDMSOC) telah menganjurkan program BDM Exam Ready Kit sebagai inisiatif kebajikan akademik bagi membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan akhir semester A252.

Pengagihan Exam Ready Kit ini telah diadakan di Dewan Tan Sri Othman sebelum peperiksaan dijalankan yang disampaikan oleh Penasihat Persatuan BDM SOC, Dr. Khofizhoah Mohd Karim.

Program ini dilaksanakan dengan objektif untuk menyokong kesejahteraan akademik pelajar melalui penyediaan keperluan asas peperiksaan, di samping memberi pendedahan mengenai teknik pembelajaran yang lebih berkesan. Pengagihan Exam Ready Kit ini adalah lanjutan daripada program yang telah diadakan sebelum ini iaitu sesi perkongsian berkaitan strategi ulang kaji, pengurusan masa dan persediaan mental menjelang peperiksaan.

Pengagihan Exam Ready Kit mengandungi pen, pensel, pembaris, pemadam dan bekas pensel. Inisiatif ini diharapkan dapat membantu mahasiswa membuat persediaan dengan lebih teratur dan meningkatkan keyakinan mereka dalam menghadapi peperiksaan.

Pengarah Program, Nuran Natsha Shaziah Osman berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memberi sokongan kepada pelajar melalui pendekatan yang bukan sahaja menitikberatkan aspek akademik, malah kebajikan pelajar secara menyeluruh.

“Kami berharap program ini dapat menjadi pemangkin kepada semangat pelajar untuk membuat persediaan awal bagi menghadapi peperiksaan.

“Walaupun sumbangan yang diberikan adalah kecil, ia diharapkan dapat memberi semangat dan meningkatkan motivasi pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik,” katanya.

Sementara itu, Dr. Khofizhoah menyambut baik program seumpama ini yang merupakan satu usaha yang wajar diteruskan kerana akan membantu pelajar dari segi persediaan akademik, menyemai nilai keprihatinan dan semangat saling menyokong dalam kalangan pelajar dan akademia.

“Pengagihan BDM Exam Ready Kit mencerminkan komitmen pelajar dalam melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakan-rakan mereka.

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia bukan sahaja menyokong kecemerlangan akademik, malah membentuk pelajar yang mempunyai nilai kepimpinan, empati dan tanggungjawab sosial yang tinggi,” katanya.

Program BDM Exam Ready Kit membuktikan komitmen berterusan BDMSOC dalam menyokong kecemerlangan akademik dan kebajikan pelajar selaras dengan aspirasi Universiti Utara Malaysia untuk melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing serta berjiwa prihatin. – Muhammad Harith Haikal Hasnizan dan Dr. Khofizhoah Mohd Karim

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button