Level Up Campus E-Sport Championship 2026 cungkil kreativiti dan keupayaan pelajar
Gambar STHEM
SINTOK, 12 Julai 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan UUM Level Up Campus E-Sport Championship 2026 yang mengetengahkan kreativiti dan keupayaan pelajar dalam merancang serta mengendalikan acara berasaskan e-sukan bertempat di Dewan Pusat Penginapan Pelajar (SAC), UUM.

Program turut dihadiri oleh Pensyarah Kursus, Nurul Azniza Nadzari serta beberapa orang pensyarah STHEM yang turut memberi sokongan kepada pelajar.
“E-sukan bukan lagi sekadar medium hiburan, malah telah berkembang menjadi satu industri yang mampu melahirkan individu berkemahiran tinggi, berfikiran strategik, kreatif dan berdaya saing.
“Melalui pertandingan seperti ini, para pelajar berpeluang mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan, pengurusan tekanan serta membuat keputusan secara pantas dan tepat,” kata Nurul Azniza.

Program ini telah dianjurkan oleh 30 pelajar daripada program Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Golf) sebagai sebahagian daripada komponen pembelajaran kursus pengurusan acara.
Penganjuran kejohanan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan teori dalam situasi sebenar melalui pengurusan operasi acara, penyelarasan peserta, pemasaran, pengurusan risiko serta pengendalian teknikal program. – Nurul Azniza Nadzari



