Campus

STML-MSM PRAI-JAS terus komited: penyelidikan berimpak tinggi tawar alternatif strategi kurangkan pencemaran air sisa industri

Berita dan gambar oleh: Nur Azean Baharom

PRAI, 19 Mei 2026: Komitmen terhadap kelestarian alam sekitar negara terus diperkukuh melalui kerjasama strategik antara Pusat Pengajian Teknologi & Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan MSM Prai Berhad, disokong selari dengan aspirasi Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pensyarah Kanan STML, Dr. Maheera Mohamad telah tampil membentangkan satu alternatif strategi hijau bagi mengurangkan kadar pencemaran dalam kandungan air sisa industri gula.

Dalam pembentangan yang berlangsung di MSM Prai Berhad pada 19 Mei 2026, Dr. Maheera mengemukakan pendekatan proaktif: merawat punca pencemaran di peringkat hulu sebelum air sisa memasuki loji rawatan utama.

Pasukan MSM Prai Berhad yang menyambut baik inisiatif ini diketuai oleh En. Cheah Poh Lye – Ketua Operasi, serta En. Vignes A/L Chellamuthu – Ketua, Kumpulan Keselamatan, Kesihatan, Alam Sekitar & Keselamatan (HSES), bersama beberapa barisan tertinggi MSM Prai Berhad.

Dalam pembentangan tersebut, Dr. Maheera telah mengenal pasti beberapa aspek dalam aliran efluen industri yang berpotensi untuk dioptimumkan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian kualiti air yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Saya melihat ruang penambahbaikan yang signifikan, terutamanya dalam mengurangkan beban organik di peringkat awal sebelum ia memasuki sistem rawatan utama. Pendekatan proaktif ini penting untuk melindungi loji rawatan dan memastikan kelestarian ekosistem,” jelas Dr. Maheera.

Strategi alternatif yang dibentangkan menggabungkan teknologi hijau melalui aplikasi mikrob berfaedah dan penapisan sebagai langkah penggilapan (polishing) selepas rawatan mikrob.

Sasaran projek ini adalah untuk mencapai penyingkiran COD yang signifikan sebelum efluen memasuki Sistem Rawatan Efluen Industri (Industrial Effluent Treatment System – IETS) utama.

Ini secara langsung akan melindungi loji rawatan utama daripada shock load, memastikan pematuhan piawaian pelepasan JAS, serta menjaga kelestarian sumber air negara.

Projek ini mencerminkan komitmen berterusan tiga hala: STML (UUM) membawa kepakaran dalam kejuruteraan alam sekitar, MSM Prai Berhad menyediakan akses lapangan dan sokongan operasi melalui pasukan HSES dan Operasi, manakala Jabatan Alam Sekitar menjadi rujukan piawaian peraturan dengan hasil projek ini dijangka menyumbang kepada amalan terbaik pelepasan efluen perindustrian negara.

En. Cheah Poh Lye dalam ucapannya berkata, “Kami di MSM Prai komited untuk menjadi pemain industri yang bertanggungjawab. Inisiatif Dr. Maheera ini bukan sekadar penyelidikan akademik, tetapi satu keperluan yang mendesak bagi memastikan operasi kami lestari dan mematuhi peraturan alam sekitar.” En. Vignes A/L Chellamuthu menambah, “Pasukan HSES menyambut baik pendekatan saintifik ini. Data kajian akan membantu kami mengenal pasti punca sebenar COD tinggi dengan tepat.”

Dengan pelaksanaan projek ini, MSM Prai Berhad bakal menjadi model perintis bagi industri gula negara dalam menguruskan efluen secara mampan, seterusnya menyokong matlamat Kerajaan ke arah ekonomi sirkular dan kelestarian alam sekitar seperti termaktub dalam Dasar Alam Sekitar Negara dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 6 – Air Bersih dan Sanitasi; SDG 9 – Industri, Inovasi dan Infrastruktur; SDG 14 – Hidupan Air).

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button