Education

UUM bimbing usahawan mikro Kubang Pasu kuasai pelaporan kewangan dan kepatuhan undang-undang

Berita dan gambar oleh: Prof. Madya Dr. Idawati Ibrahim

CHANGLUN, 16 Mei 2026 – Projek Geran Inovasi Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan momentum pemerkasaan komuniti apabila berjaya menganjurkan siri keempat bengkelnya yang bertumpu kepada Modul 4: Memahami Pelaporan Kewangan, bertempat di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Changlun, di sini baru-baru ini.

Bengkel berimpak tinggi ini dihadiri oleh kumpulan peserta yang sama daripada siri ketiga, merangkumi 10 usahawan mikro qariah Masjid Abidin, Sungai Laka, yang terdiri daripada komuniti usahawan belia, wanita, pesara (pencen), serta wakil Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid.

Sesi latihan pengurusan yang kritikal ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz, pensyarah dan pakar perakaunan daripada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM).

Dalam perkongsiannya, Dr. Saliza menekankan peri pentingnya penyimpanan rekod yang sah bagi mengelakkan perangkap pematuhan undang-undang perniagaan, khususnya di bawah Seksyen 82/82A Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Statistik menunjukkan kebanyakan perniagaan baharu gagal dalam tempoh tiga tahun pertama akibat pengurusan aliran tunai dan rekod yang lemah. Mengikut arahan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), semua rekod, resit, dan dokumen perniagaan wajib disimpan sekurang-kurangnya selama tujuh tahun bagi mengelakkan penalti perundangan. Kegagalan mematuhinya boleh mengundang denda antara RM300 hingga RM10,000, atau penjara,” jelas beliau.

Menerusi modul tersebut, para peserta turut dibimbing secara mendalam untuk memahami perbezaan struktur antara perniagaan Milikan Tunggal (Enterprise) dengan Syarikat Sendirian Berhad (Sdn Bhd) dari segi kewajipan audit, format laporan kewangan, dan kadar taksiran cukai.

Selain itu, Dr. Saliza turut membongkar ‘tiga serangkai’ anatomi laporan kewangan yang merangkumi Penyata Untung Rugi untuk mengukur prestasi, Kunci Kira-Kira bagi melihat kedudukan aset dan liabiliti, serta Penyata Aliran Tunai bagi memantau kecairan wang. Beliau turut mengingatkan usahawan mengenai ilusi kewangan antara keuntungan (profit) dan aliran tunai (cash flow) , di mana syarikat boleh muflis sekiranya mengalami aliran tunai negatif walaupun mencatatkan keuntungan di atas kertas.

Sepanjang bengkel yang berlangsung di premis kondusif NADI Changlun, usahawan mikro terbabit diberikan pendedahan praktikal untuk mengesan ‘titik buta’ yang sering merosakkan penyata kewangan mereka, seperti tabiat mengabaikan kos-kos kecil, mencampuradukkan dana peribadi dengan syarikat, serta kekeliruan dalam merekod nilai inventori.

Inisiatif berterusan daripada barisan pakar UUM ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan literasi kewangan digital, malah berperanan sebagai pemangkin bagi membantu membina kredibiliti PKS tempatan agar lebih mudah mengakses pembiayaan bank, geran kerajaan, serta meraih keyakinan pelabur pada masa hadapan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button