Education

Thinkers Care 2026 santuni anak-anak yatim, semai nilai prihatin pelajar UUM

Gambar Muhammad Adam Hareez Hasmera

ALOR SETAR, 20 Mei 2026: Persatuan BPLB (THINKERS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program khidmat komuniti Thinkers Care 2026: Building Smiles Together di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim (Daya) pada Sabtu lalu.

Program ini merupakan sebuah inisiatif yang dianjurkan oleh Eksekutif Kebajikan dan Kesatuan sesi 2025/2026 sebagai usaha berterusan untuk memupuk nilai keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan ahli Persatuan BPLB (THINKERS) Society.

Program ini dilaksanakan bagi memberi peluang kepada ahli untuk melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan serta mengeratkan hubungan sesama ahli dan komuniti melalui pengalaman yang bermakna, luar dari bilik kuliah dan universiti.

Pengerusi Program Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan (BPLB), Dr. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah berkata, program seperti ini amat penting bagi memastikan pelajar sentiasa peka terhadap realiti masyarakat di sekeliling mereka.

“Program ini sangat bagus untuk pelajar supaya mereka tidak out of touch dengan situasi dan persekitaran mereka. Ada golongan yang memerlukan, baik dari segi kewangan, perhatian mahupun kasih sayang.

“Tambahan pula, ke arah melahirkan individu seimbang dan holistik menurut Dasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta meresapi nilai teras yang terkandung dalam gagasan Malaysia MADANI terutamanya sifat ihsan, program ini sangat bersesuaian untuk membentuk insan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, bahkan turut memiliki sahsiah dan akhlak yang terpuji,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program, Haarsini Saravanan berkata, program ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk turun padang dan menyumbang secara langsung kepada masyarakat, di samping memperkukuhkan hubungan silaturahim sesama ahli persatuan.

“Melalui aktiviti kebajikan seperti gotong-royong dan riadah bersama anak-anak di rumah kebajikan, peserta bukan sahaja dapat menimba pengalaman bermakna, malah turut mencipta kenangan yang menggembirakan bersama komuniti setempat,” katanya.

Sepanjang program sehari itu, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk senamrobik, sesi suai kenal, permainan teka-teki dan pengetahuan am, mereka hias kad Hari Guru, gotong-royong membersihkan kawasan rumah kebajikan, sesi perkongsian serta penyampaian cenderamata kepada anak-anak yatim.

Dengan tema Building Smiles Together, Thinkers Care 2026 membuktikan komitmen pelajar UUM dalam mengamalkan nilai Ilmu, Budi dan Bakti melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan yang memberi impak positif kepada komuniti.

Program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat, khususnya golongan rentan dan memerlukan. – Dr. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button