Education

Pelajar UUM perkasa kesedaran pengurusan KKP di Delapan SBEZ

Gambar Pelajar Sarjana Sains (Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan)

BUKIT KAYU HITAM, 9 Jun 2026: Pelajar Sarjana Sains (Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Seminar “Enhancing a Safe Work Culture Through Compliance with OSH Legislation” menerusi Program S.A.F.E – Safety Awareness for Everyone di Sasana@Delapan, Bukit Kayu Hitam.

Program anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dengan kerjasama Northern Gateway Sdn. Bhd. dan Fourth Wave (M) Sdn. Bhd. itu disertai seramai 41 peserta yang terdiri daripada 25 pekerja tapak pembinaan dan 16 pelajar.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko UUM, Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly berkata, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan mematuhi kehendak perundangan.

Menurutnya, selain memberi pendedahan kepada peserta mengenai amalan kerja selamat, program tersebut turut menjadi platform interaksi dua hala antara pihak industri dan pelajar program Sarjana Sains (Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) UUM.

Pendekatan tersebut membolehkan pihak industri melaksanakan promosi KKP secara langsung di premis masing-masing, manakala pelajar memperoleh pengalaman mengurus program secara praktikal selaras dengan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang digalakkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Program berkenaan telah dirasmikan oleh Pengarah JKKP Kedah, Ir. Abdul Aziz Salim sebelum diteruskan dengan gimik potongan riben streamer dan sesi bergambar bersama peserta serta tetamu jemputan.

Menurutnya, program seumpama ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan KKP, malah mengukuhkan kerjasama strategik antara universiti, industri dan agensi kerajaan dalam usaha memperkasakan budaya kerja yang selamat dan sihat.

Penganjuran Program S.A.F.E turut memperkukuhkan jaringan kerjasama antara UUM, industri, komuniti dan agensi kerajaan berkaitan, sekali gus menyokong agenda universiti dalam melaksanakan program khidmat masyarakat berimpak tinggi.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu, interaksi bersama peserta serta aktiviti yang memfokuskan kepada peningkatan kesedaran dan pembudayaan keselamatan serta kesihatan pekerjaan dalam kalangan warga industri. Program berakhir dengan demonstrasi pemadaman api oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam. – Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button