Education

IBS UUM bekerjasama dengan KIAS melalui Bengkel Literasi Kewangan Islam @ Hari Celik Kewangan (Hack) IPT

Gambar Dr. Mohd Badrul Hakimi dan Mohd Saharudin Shakrani

KELANTAN, 26 Julai 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) memulakan kerjasama strategik dengan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menerusi penganjuran Program Hari Celik Kewangan (HACK) IPT 2026.

Program yang berlangsung di KIAS itu dianjurkan bersama oleh Dana Sosial Takaful (STF), IBS UUM dan KIAS bagi meningkatkan pengetahuan serta kesedaran pelajar tentang kepentingan pengurusan kewangan yang bijak, berhemah dan selaras dengan prinsip Islam.

Delegasi IBS UUM diketuai oleh Penolong Naib Canselor, UUM COB merangkap Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor. Turut hadir ialah Pengurus Dana Sosial Takaful (STF), Dr. Yazid Isa; Pengurus I-Wealth IBS, Prof. Madya Dr. Zakhiri dan Dr. Mohd Badrul Hakimi Daud serta Pengarah Program HACK, Mohd Saharudin Shakrani.

Dr. Selamah berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah penting dalam memperluas manfaat kepakaran dan ilmu yang dimiliki oleh UUM kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi lain.

“Kerjasama strategik antara IBS UUM dengan KIAS ini membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk berkongsi kepakaran, memperkukuh jaringan akademik dan melaksanakan lebih banyak program yang memberikan manfaat secara langsung kepada pelajar.

“Pendidikan literasi kewangan perlu diberikan sejak awal agar pelajar lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan selepas menamatkan pengajian,” katanya.

Bengkel literasi kewangan Islam itu disampaikan oleh Dr. Mohd Badrul Hakimi yang berkongsi pengetahuan berkaitan asas pengurusan kewangan, perancangan perbelanjaan, pembentukan disiplin kewangan serta kepentingan membuat keputusan kewangan secara tepat dan bertanggungjawab.

Peserta turut diberikan pendedahan mengenai penyediaan bajet, pengawalan perbelanjaan, pembentukan tabungan, pengurusan hutang dan persediaan kewangan bagi menghadapi keperluan pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengarah Program HACK, Mohd Saharudin berkata, program tersebut bukan sekadar menyampaikan pengetahuan berkaitan kewangan, malah turut memberi penekanan terhadap pembentukan sikap dan amalan kewangan yang positif dalam kalangan pelajar.

“Program HACK dirangka untuk membantu pelajar memahami bahawa pengurusan kewangan yang baik memerlukan ilmu, disiplin dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

“Kami berharap program ini dapat membentuk tabiat kewangan yang sihat serta membantu mahasiswa merancang masa depan dengan lebih yakin dan teratur,” katanya.

Program HACK IPT 2026 menekankan empat elemen utama iaitu meningkatkan literasi kewangan, membentuk kebijaksanaan dalam membuat keputusan, melindungi kesejahteraan diri dan keluarga serta membina masa depan kewangan yang lebih baik.

Penganjuran program tersebut diharapkan menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan lebih banyak kerjasama antara IBS UUM dengan KIAS dalam bidang akademik, penyelidikan, pemindahan ilmu dan pembangunan pelajar pada masa hadapan. – Mohd Saharudin Shakrani

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button