IBS UUM perkukuh hubungan strategik dengan IPT dan pengamal industri di pantai timur
Gambar Dr Mohd Badrul Hakimi dan Mohd Saharudin Shakrani
TERENGGANU, 26 Julai 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia terus memperkukuhkan jaringan akademik dan industri menerusi lawatan strategik ke beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) dan pengamal industri di pantai timur pada 22 hingga 23 Julai lalu.
Delegasi tersebut diketuai oleh Penolong Naib Canselor UUM COB merangkap Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor bersama Pengurus Dana Sosial Takaful UUM, Dr. Yazid Isa; Pengurus Unit i-Wealth IBS, Prof. Madya Dr. Zakhiri dan Dr. Mohd Badrul Hakimi Daud serta Mohd Saharudin Shakrani.

Pada hari pertama, delegasi mengunjungi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang kewangan sosial Islam, wakaf, ekonomi Islam, penyelidikan, penerbitan dan program ‘edutourism’.
Di UniSZA, delegasi mengadakan perbincangan bersama Islamic Social Finance Research Centre (ISF) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nik Hazimi Mohammed Foziah. Di UMT pula, delegasi bertemu pihak Pusat Ihsan UMT yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Riswadi Azmi bagi membincangkan pengurusan wakaf, endowmen dan penjanaan dana universiti.
Lawatan diteruskan pada hari kedua ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK). Di KIAS, delegasi disambut oleh Dekan Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Insan, Dr. Marina Muhammad Razaki. Perbincangan memberi tumpuan kepada program literasi kewangan, sijil profesional Islamic Financial Planner (IFP), edutourism serta peluang pengajian sarjana dan Doktor Falsafah.
Di YIK, delegasi disambut oleh Penolong Pengarah YIK, Azman Hussin yang mewakili pihak pengurusan institusi berkenaan. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan program literasi kewangan, pensijilan profesional Islamic Financial Planner (IFP), edutourism serta peluang melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Delegasi turut mengunjungi Permodalan Kelantan Berhad (PKB) dan disambut oleh Pengurus Besarnya, Hassan Shukri Hussein. Antara perkara yang dibincangkan termasuk Program PADAWAN, pensijilan profesional, pengajian pascasiswazah, pembangunan bakat serta perkongsian kepakaran berkaitan proses pengilangan dan pengkomersialan PKB Gold.
Sepanjang lawatan tersebut, IBS UUM turut mempromosikan program akademik dan profesional yang ditawarkan, pusat-pusat kecemerlangan di IBS serta International Business Management Conference (IBMC) 2026 kepada institusi dan pengamal industri yang dikunjungi.
Dr. Selamah berkata, lawatan tersebut membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas dalam bidang penyelidikan, pembangunan profesional, pengajian pascasiswazah dan perkongsian kepakaran antara universiti, IPT dan pengamal industri.Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan IBS UUM untuk memperluas jaringan strategik yang mampu memberikan manfaat kepada institusi pendidikan, industri dan masyarakat. – Mohd Saharudin Shakrani



