AsiaEducation

Penyelidik CLIMATE wakili UUM ke Mesyuarat dan Persidangan Undang-undang Perubahan Iklim di Hue, Vietnam

Gambar Climate Change Law Research Unit (CLIMATE), SOL

HUE, 14 Januari 2025: Seramai lima penyelidik Climate Change Law Research Unit (CLIMATE), Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) telah mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM) ke Mesyuarat kali ke-6 dan Persidangan Polisi dan Undang-undang Perubahan Iklim yang telah diadakan di Hue University, Hue, Vietnam.

Mesyuarat tersebut yang berlangsung selama lima hari pada 6 hingga 10 Januari lalu ialah sebahagian daripada projek penyelidikan yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah  iaitu Erasmus+ Capacity Building in Higher Education (CBHE) bertajuk “Pembangunan Kurikulum Polisi dan Undang-undang Perubahan Iklim”.

Delegasi UUM yang diketuai oleh penyelidik utama CLIMATE, Prof. Madya Dr. Haslinda Mohd. Anuar itu turut disertai oleh penyelidik daripada sembilan institusi lain mewakili enam negara iaitu Coventry University (United Kingdom), Girona University (Sepanyol), European Knowledge Spot dan PEDMEDE (Greece), Marwadi University dan Symbiosis International (India), Hue University dan Hanoi Law University (Vietnam) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia).

Mesyuarat dan persidangan ini adalah kali ke-6 diadakan selepas pertemuan sebelum ini diadakan di Sepanyol (2022), India  (2023) dan Malaysia (2024).

Selain Dr. Haslinda, ahli penyelidik UUM lain ialah Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab dan Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad (SOL), Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad (Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz) dan Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin (Pusat Pengajian Pengkomputeran).

Hasil projek penyelidikan ini ialah kurikulum baharu bagi program sarjana polisi dan undang-undang perubahan iklim yang akan ditawarkan di SOL.

Dekan SOL, Dr. Harlida berkata, program baharu yang akan diperkenalkan dan ditawarkan di UUM kelak akan menggabungkan tiga komponen utama yang berkait dengan perubahan iklim, iaitu undang-undang, teknologi dan pengurusan.

“Dengan perubahan iklim kini menjadi isu utama yang melibatkan pelbagai aspek undang-undang, termasuk perundangan antarabangsa, kebangsaan, dan hak asasi manusia, kurikulum ini akan memberikan asas kukuh dalam memahami implikasi undang-undang terhadap tindakan mitigasi dan adaptasi dari segi teknologi dan pengurusan,” katanya. – Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button