Gambar Prof. Dr. Haslinda Ibrahim dan Dr. Habibulla Ahadkulov
TASHKENT, UZBEKISTAN, 11 Jun 2025: Tashkent International University of Financial Management and Technologies (TIFT) dan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah bekerjasama menganjurkan Persidangan Saintifik Antarabangsa bertemakan “Actual Problems of Algebra, Analysis, Topology, and Computational Mathematics”.
Dekan SQS, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim, telah diundang sebagai pengucap utama dengan menyampaikan ucaptama bertajuk “Menerapkan Teori Kombinatorik untuk Memupuk Pemikiran Reka Bentuk dan Penyelesaian Inovatif,” yang menonjolkan bagaimana prinsip matematik boleh digunakan untuk meningkatkan kreativiti serta menyelesaikan cabaran industri melalui reka bentuk inovatif.
Penolong Profesor Dr. Khodjamuratova Indira Azatovna dari Jabatan Matematik, TIFT, berkata, kerjasama konferen ini telah membuka peluang untuk berkongsi inovasi dalam meneroka ilmu matematik yang lebih mencabar masa kini.
Menurutnya, persidangan ini bertujuan memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua institusi, susulan memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai pada 18 Mei 2024.
“Persidangan ini diadakan bagi menyediakan platform antarabangsa bagi penyelidikan dalam bidang algebra, analisis, topologi dan matematik komputasi selain daripada mempertingkatkan visibiliti UUM di persada antarabangsa, sejajar dengan usaha menaikkan kedudukan universiti dalam ranking global,” katanya.
Persidangan ini turut mendapat sokongan daripada V.I. Romanovskiy Institute of Mathematics, Academy of Sciences of Uzbekistan serta National University of Uzbekistan, menjadikannya satu platform antarabangsa untuk penyelidikan dalam bidang sains kuantitatif dan matematik.
Persidangan ini memberi impak besar kepada perkembangan matematik teori dan aplikasi, di samping menyumbang kepada pertumbuhan penyelidikan di peringkat antarabangsa.
Persidangan ini berlangsung secara bersemuka di Tashkent pada 30 hingga 31 Mei lalu, manakala platform TIFT Zoom Conference digunakan sebagai medium peserta atas talian. Makalah penyelidikan yang diterima akan diterbitkan dalam prosiding persidangan, menawarkan peluang kepada peserta untuk berkongsi dapatan kajian mereka di platform akademik bertaraf dunia.
Sebagai sebuah forum utama untuk pakar matematik dan penyelidik, acara ini menjanjikan perbincangan mendalam dan sesi interaktif yang mampu mencetuskan inovasi serta memperkukuh kerjasama akademik antarabangsa. – Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi