AsiaEducation

UUM perkukuh peranan antarabangsa: TNC (Akademik dan Antarabangsa) sampaikan ucaptama di ICOSSH VIII

Gambar Ihsan Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani

PALEMBANG, 4 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan kedudukannya di pentas antarabangsa apabila Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani telah dijemput sebagai pengucaptama di International Conference on Social Sciences and Humanities (ICOSSH VIII) anjuran Universitas Sriwijaya yang berlangsung di The Zuri Hotel, Palembang, Indonesia.

Dalam ucaptamanya bertajuk “ASEAN and Political Reforms: Specifically Focusing on Malaysia”, Dr. Azizuddin menekankan peri pentingnya reformasi politik bagi memperkukuhkan kedudukan ASEAN sebagai blok serantau yang berwibawa.

Beliau turut mengupas cabaran dan kejayaan reformasi politik di Malaysia termasuk pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik, penurunan umur mengundi kepada 18 tahun serta usaha memperkukuh sistem demokrasi berparlimen.

“Meskipun terdapat pencapaian signifikan, usaha merealisasikan transformasi politik menyeluruh masih memerlukan iltizam politik, pengukuhan institusi serta undang-undang baharu termasuk berkaitan pembiayaan politik,” katanya.

Kehadiran Dr. Azizuddin sebagai penceramah utama bukan sahaja mengangkat nama beliau sebagai sarjana berpengaruh dalam bidang politik dan hubungan antarabangsa, malah lebih penting memperlihatkan peranan UUM sebagai universiti berstatus antarabangsa yang menyumbang kepada wacana ilmiah global.

Persidangan ICOSSH VIII menghimpunkan kalangan sarjana, penyelidik dan pembuat dasar dari seluruh rantau Asia Tenggara untuk membincangkan isu-isu kontemporari dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.

Penglibatan aktif UUM dalam persidangan ini membuktikan komitmen universiti ke arah penerokaan ilmu tanpa sempadan serta pengukuhan jaringan antarabangsa. – Mohd Azri Md. Nadzir

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button