Gambar Dr. Azahar Kasim
OSAKA, 25 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama enam institusi pendidikan tinggi dari Jepun termasuk sebuah pusat dakwah Islam, sempena Ekspo Osaka 2025 bersempena Minggu Pendidikan Tinggi.
Antara institusi yang terlibat dalam pemeteraian tersebut ialah Kansai University of International Studies, Kyoto Sangyo University, University of Tsukuba, Okayama University, Shibaura Institute of Technology dan Japan Da’wah Center.
UUM diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan yang turut diiringi oleh Penolong Naib Canselor UUM College of Arts and Sciences (CAS), Prof. Dr. Osman Ghazali.
Bagi pihak Kansai University of International Studies, majlis menandatangani MoU disertai oleh Penolong kepada Presiden Hubungan Antarabangsa, Prof. Dr. Yasuo Kawawaki; Pengarah Pejabat Pendidikan Pengurusan Keselamatan, Prof. Dr. Masahiko Murata serta Penyelaras Program dari Pusat Pendidikan Global, Hiroko Fukushima.
Japan Da’wah Center pula diwakili oleh Presidennya yang juga merupakan pengasas pusat tersebut, Zulkarnain Hasan Basri. Turut hadir ialah Pengurus Produk, Maaya Madihah dan Eksekutif Perhubungan Media dan Pelancongan, Danial Haqim.
Dr. Mohd Foad berkata, kerjasama strategik ini akan melibatkan pelaksanaan program mobiliti pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama, penerbitan akademik serta kolaborasi dalam permohonan geran penyelidikan.
Sementara itu, Prof. Dr. Kawawaki memaklumkan bahawa delegasi mereka akan mengadakan lawatan rasmi ke UUM pada 20 Ogos 2025 bagi menyertai ASEAN Cooperative Program International Field Study 2025, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Japan Da’wah Center, Zulkarnain Hasan Basri berkata, mereka berhasrat menjalin kerjasama dengan UUM dalam membangunkan sebuah aplikasi yang dapat menghubungkan fungsi masjid dengan komuniti Islam di Jepun, sejajar dengan usaha memperkasa pembangunan komuniti Muslim di negara tersebut.
Selain itu, institusi pendidikan tinggi di Jepun yang terlibat turut menyatakan komitmen mereka untuk menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama akademik dan penyelidikan dengan UUM.
Delegasi UUM turut berpeluang melawat Hiroshima University dan Hiroshima City University sebagai sebahagian daripada inisiatif menjalin kerjasama strategik dengan lebih banyak universiti di Jepun.
Hari ini, penyelidik UUM menyertai Pocket Talk @ OSAKA Expo 2025 yang membincangkan tajuk ‘Halal & Food Security’, dan mengadakan sesi padanan perniagaan bersama 15 organisasi di Jepun yang melibatkan universiti dan syarikat.