Business

Program Inkubator Perniagaan Kek Dan Pastri UUM kini bermula

SINTOK, 13 April 2025; Seramai 45 bakal usahawan pelajar telah menghadiri sesi taklimat bagi Program Inkubator Perniagaan Kek dan Pastri yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), menandakan permulaan rasmi program yang bertujuan melahirkan usahawan muda dalam bidang kek dan pastri.

Taklimat telah disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan.

Jelasnya, program ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama CEDI dan Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), UUM.

“Program selama 12 bulan ini bakal membimbing para pelajar menerusi latihan intensif, pendedahan kepada ekosistem industri sebenar dan sokongan untuk membangunkan syarikat pemula (start-up) dalam bidang kek dan pastri.

“Program ini bukan sekadar mengajar kemahiran membuat kek dan pastri, tetapi yang lebih penting ialah membentuk mindset keusahawanan dalam kalangan pelajar. Mereka akan dibimbing sehingga mampu menubuhkan perniagaan sendiri dan berupaya membuka peluang pekerjaan kepada orang lain,” ujarnya.

Program ini secara rasmi bermula dengan sesi latihan pertama pada 8 April 2025 yang dijalankan dengan kerjasama strategik bersama Kolej Komuniti Bandar Darulaman.

Dalam sesi tersebut, kumpulan pertama yang terdiri daripada 20 pelajar telah mengikuti kelas praktikal menghasilkan tiga jenis roti asas diikuti dengan kumpulan kedua seramai 25 pelajar telah selesai mengikuti modul yang sama pada 12 April 2025.

Kebanyakan pelajar yang mengikuti program berasa teruja kerana dapat menghasilkan sendiri produk dengan bimbingan dan seliaan tenaga pengajar yang berpengalaman.

Selain daripada latihan praktikal, ilmu yang dikongsikan berkaitan fungsi sesuatu bahan dan kaedah yang digunakan dalam penghasilan sesuatu produk menjadi nilai tambah kepada para peserta yang mengikuti program ini.

Selain itu, CEDI turut menyediakan fasiliti dan tenaga pengajar berpengalaman dari industri bagi memastikan para peserta bukan sahaja memperolehi ilmu secara teori semata-mata malah turut berpeluang mencipta pengalaman praktikal secara langsung dalam suasana perniagaan kek dan pastri yang sebenar sebagai persediaan menubuhkan perniagaan kelak.

Program ini dijalankan dalam tiga fasa utama iaitu latihan secara teori dan praktikal, fasa permulaan perniagaan, dan fasa penubuhan serta pengembangan start-up. Peserta akan dinilai secara berkala dan turut diberi peluang menyertai program pemadanan perniagaan serta pertandingan perniagaan di peringkat lebih tinggi.

Dengan pelaksanaan program ini, UUM berharap dapat memainkan peranan lebih besar dalam menyumbang kepada Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan menyokong agenda negara dalam melahirkan graduan berciri job creator. – CEDI

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button