Business

Sesi Social Entrepreneurship Transformation 2025  

GOMBAK, 4 Januari 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan peranan sebagai pemangkin keusahawanan sosial negara apabila dijemput menyumbangkan tenaga dalam program Social Entrepreneurship Transformation (SET) 2025.

Program anjuran Entrepreneurship Development Centre (EDC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)  menjadi platform penting untuk memperkasakan pelajar ijazah sarjana muda dan komuniti melalui pendekatan keusahawanan sosial, sejajar dengan aspirasi SE-My 2030 (Pelan Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030) dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030.

CEDI UUM diwakili oleh Pengarah Eksekutif, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan,  menyampaikan pandangan strategik tentang bagaimana institusi pendidikan tinggi boleh menyumbang kepada agenda keusahawanan sosial negara.

“Keusahawanan sosial bukan hanya sekadar menyelesaikan masalah komuniti, tetapi ia juga platform untuk mencipta kesan yang mampan dan menyokong pembangunan ekonomi inklusif,” katanya.

Shazida turut menegaskan komitmen UUM untuk menyokong pelaksanaan SE-My 2030 melalui program dan inisiatif CEDI yang memfokuskan kepada pemberdayaan komuniti dan pembangunan pelajar.

Penyelaras Keusahawanan Sosial, Fatin Athirah Fadzillah turut sama menyumbang dalam slot sesi Design Thinking in SE menggunakan pendekatan kreatif melalui metafora durian.

Slot interaktif ini memfokuskan kepada penerokaan cabaran komuniti secara inovatif, dengan memberikan peserta peluang untuk memahami dan menghasilkan penyelesaian melalui pemikiran reka bentuk.

Selain UUM, program ini turut melibatkan penyertaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, yang berkongsi perspektif dalam memperkukuh keusahawanan sosial dari aspek pendidikan.

Program SET 2025 ini dilihat sebagai usaha kolektif yang signifikan dalam mempercepatkan transformasi sosial di Malaysia, selari dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul.

CEDI UUM berharap penglibatan ini dapat terus mencetuskan impak positif kepada pelajar dan komuniti, selain menyumbang kepada pencapaian matlamat sosial dan ekonomi negara menjelang 2030.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button