Campus

Ahli akademik STML UUM dilantik sebagai Pensyarah Pelawat di Universitas Andalas, Indonesia

 Berita dan gambar oleh: Prof. Madya Dr. Halim Mad Lazim

INDONESIA, 1 Disember 2025: Profesor Madya Dr. Halim Mad Lazim dari School of Technology Management and Logistics (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM), dilantik sebagai Pensyarah Pelawat (Visiting Lecturer) di Universitas Andalas, Padang, Indonesia.

Pelantikan ini mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepakaran beliau, di samping memperkukuh hubungan kerjasama akademik antara kedua-dua institusi serta membuka peluang yang lebih luas dalam perkongsian ilmu, penyelidikan, pengajaran dan pembangunan profesional.

 

Sepanjang lawatan tersebut, Dr. Halim telah menyampaikan beberapa siri syarahan kepada pelajar prasiswazah dan pascasiswazah dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan.

Sesi syarahan merangkumi topik berkaitan pengurusan rantaian bekalan, logistik, transformasi digital serta pengurusan kualiti.

Para pelajar memberikan penyertaan yang aktif dalam sesi perbincangan dengan bertukar pandangan serta memperoleh perspektif antarabangsa mengenai cabaran semasa dalam industri.

 

Beliau turut mengadakan sesi perbincangan bersama barisan pensyarah fakulti berkenaan yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. M. Fany Alfarisi, Prof. Dr. Donard Games, Prof. Dr. Vera Pujani, Dr. Laura Syahrul, Danis Ganeru dan Belligo Agra.

Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan akademik serta mengenal pasti pelbagai potensi kerjasama strategik pada masa hadapan.

Antara inisiatif yang dibincangkan termasuk pelaksanaan projek penyelidikan bersama, penerbitan artikel dalam jurnal antarabangsa berimpak tinggi, pengajaran secara kolaboratif, penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah, program mobiliti staf dan pelajar, serta penganjuran kursus latihan profesional dan program pembangunan eksekutif.

Kedua-dua institusi turut meneroka peluang untuk memohon geran penyelidikan antarabangsa dan menganjurkan persidangan akademik secara bersama.

 

Lawatan tersebut diakhiri dengan komitmen bersama untuk membangunkan kerjasama strategik jangka panjang yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua institusi melalui kecemerlangan akademik, inovasi penyelidikan dan penglibatan serantau.

Pelantikan sebagai Pensyarah Pelawat ini dijangka terus memperkukuh hubungan antara UUM dan Universitas Andalas, di samping menggalakkan kerjasama akademik yang lebih erat dalam kalangan institusi pengajian tinggi di rantau ASEAN.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button