Pensijilan OSH-C lengkapkan pelajar Sulung UUM dengan kompetensi industri
Gambar Pelajar On Campus Job (OCJ) PPKKG
SINTOK, 16 Jun 2026: Lebih 80 pelajar Sulung Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai Program Pensijilan Occupational Safety and Health Coordinator (OSH-C) bagi memperkasakan kemahiran profesional pelajar serta meningkatkan kebolehpasaran graduan di peringkat industri.
Program anjuran Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) ini merupakan kesinambungan daripada siri pertama yang telah dilaksanakan sebelum ini dan memberi tumpuan kepada pembangunan kompetensi pelajar sulung UUM daripada golongan B40 yang melibatkan penyertaan pelajar daripada pelbagai program pengajian dan dibahagikan kepada empat kelas bagi memastikan sesi latihan dapat dijalankan secara lebih efektif.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dan Tatacara Sdn. Bhd.
Pensijilan OSH-C merupakan salah satu pensijilan profesional yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pengurusan risiko, pematuhan perundangan serta peranan penyelaras keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Pensijilan ini turut menjadi nilai tambah kepada pelajar dalam menghadapi cabaran pasaran kerja yang semakin kompetitif.
Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, program tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam menyediakan peluang kepada pelajar untuk memperoleh pensijilan yang diiktiraf industri sebelum menamatkan pengajian.

“Pendedahan kepada pensijilan profesional seperti OSH-C bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar, malah memberi kelebihan kompetitif kepada mereka apabila memasuki alam pekerjaan kelak,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Psikologi PPKKG, Nur Farah Johari berkata, penyertaan dalam program pensijilan profesional dapat membantu pelajar membina keyakinan diri serta memperkukuhkan kesiapsiagaan mereka untuk berdepan dengan tuntutan dunia pekerjaan.
“Selain memperoleh ilmu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pelajar turut berpeluang mengembangkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah yang amat dihargai oleh majikan,” katanya.
Program ini merupakan antara inisiatif strategik universiti dalam memperluaskan akses kepada pensijilan profesional yang relevan dengan keperluan industri, sekali gus menyokong agenda UUM untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia untuk memasuki pasaran kerja. – Anis Zulaikha Kamal



