Pelajar STHEM aplikasi kemahiran pengurusan acara menerusi “Nightfall Wave Walk 2026”
Berita dan gambar Dr. Hasan Mohamed Zakaria
SINTOK, 16 Jun 2026: Hampir 400 peserta terdiri daripada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dan masyarakat luar kampus memeriahkan program “Nightfall Wave Walk 2026” anjuran pelajar kursus GHZPK4313 Pengurusan Acara Pelancongan Sukan, Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) sebagai sebahagian daripada tugasan akhir kursus.

Penganjuran program ini memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran pengurusan acara yang dipelajari di dalam kelas dalam situasi sebenar, merangkumi aspek perancangan, promosi, pengurusan peserta, keselamatan, logistik, pengurusan sukarelawan serta penyelarasan bersama pihak berkepentingan.
Selain memenuhi keperluan akademik, program berkenaan turut menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang membantu pelajar meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan pembuatan keputusan semasa mengendalikan acara.
Program telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) STHEM, Dr. Eshaby Mustafa bersama Pengerusi Program Sarjana Muda Pengurusan Acara, Dr. Lina Munirah Kamarudin yang turut menyempurnakan pelepasan peserta “Nightfall Wave Walk 2026”.

Penasihat Program, Dr. Hasan Mohamed Zakaria berkata, kejayaan program berkenaan mencerminkan usaha, komitmen, kerjasama dan ketekunan yang ditunjukkan oleh pelajar sepanjang proses perancangan dan pelaksanaan acara.
Menurutnya, penganjuran acara sebenar memberi ruang kepada pelajar untuk memahami bahawa pengurusan acara bukan sekadar melibatkan perancangan di atas kertas, malah memerlukan keupayaan menangani cabaran, menyelaraskan pelbagai pihak serta membuat keputusan dalam tempoh yang terhad.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan sukarelawan yang hadir dan memberikan sokongan kerana penyertaan mereka telah menyediakan ruang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman sebenar dalam merancang dan mengendalikan acara berskala besar.

Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Event Management Students’ Society (EMSS), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPP), Student Excellence and Leadership Centre (SELECT) HEP, Pusat Penginapan Pelajar (SAC), Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) serta Jabatan Keselamatan UUM.
Penganjuran “Nightfall Wave Walk 2026” bukan sahaja menandakan penyempurnaan tugasan akhir pelajar, malah menjadi satu langkah penting dalam membentuk graduan Pengurusan Acara yang lebih kompeten, berkeyakinan dan bersedia menghadapi keperluan sebenar industri.



