142 pelajar Pusat Pengajian Undang-Undang terima Anugerah Dekan
Berita dan gambar oleh Mohd Nasiruddin Abu Ghani
SINTOK, 28 April 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Anugerah Dekan bagi meraikan kecemerlangan akademik seramai 142 orang pelajar yang menunjukkan prestasi luar biasa sepanjang semester.
Majlis yang penuh bermakna ini menjadi saksi kepada dedikasi para pelajar dalam memartabatkan standard akademik di pusat pengajian tersebut.

Daripada keseluruhan penerima, seramai 90 orang pelajar adalah daripada program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian (LL.B), manakala seramai 52 orang lagi merupakan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan dengan Kepujian (BPLB). Kesemua mereka menerima sijil sebagai pengiktirafan kepada usaha gigih mereka.
Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab dalam ucapan perasmiannya, mengambil kesempatan untuk membakar semangat para pelajar dengan memperkenalkan Puan Nur Athirah Rushami Zien.

Beliau merupakan pemenang Anugerah Pelajar Diraja pada Sesi Konvokesyen UUM tahun 2019 yang kini sedang berkhidmat sebagai Tutor di SoL. Kehadiran Puan Nur Athirah sebagai contoh terdekat di fakulti tersebut diharapkan dapat membuktikan bahawa kecemerlangan di menara gading mampu membuka peluang kerjaya yang luas.
Dalam ucapan yang sama, Prof. Dr. Harlida turut menitipkan pesanan agar para pelajar tidak leka dengan pencapaian semasa.
“Kecemerlangan bukanlah satu destinasi, tetapi satu perjalanan. Saya berharap para pelajar dapat mengekalkan momentum ini secara konsisten agar nama anda terus terpahat sebagai penerima sijil dekan pada setiap semester akan datang,” ujar beliau.

Beliau juga menekankan bahawa keseimbangan antara intelek dan sahsiah adalah kunci utama untuk bergelar pengamal undang-undang atau graduan yang kompeten di masa hadapan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran dua orang Timbalan Dekan SoL, barisan pensyarah, serta kakitangan akademik yang sentiasa menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan para pelajar ini.
Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian sijil dan sesi fotografi sebagai tanda kenang-kenangan bagi menghargai usaha gigih para pelajar sepanjang semester ini.



