Campus

250 pelajar IPT, TVET sertai Program Jaguh Keusahawanan Nasional 2026 Zon Utara

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 22 April 2026: Program Jaguh Keusahawanan Nasional 2026 zon utara yang disertai 250 pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan mahasiswa selain memperkasa bakat usahawan muda di peringkat nasional.

Menerusi platform itu, peserta diberi pendedahan kepada aspek keusahawanan seperti pembangunan idea, inovasi dan membina model perniagaan berimpak tinggi sepanjang program yang bermula pada 21 hingga 22 April.

Ia dianjurkan oleh Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Sekretariat PROTÉGÉ, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di Kampus UUM Sintok.

Sepanjang program, peserta berpeluang mengikuti pelbagai pengisian berimpak tinggi termasuk bootcamp intensif, speed mentoring dan sesi pitching.

Seramai 12 jurulatih pakar perniagaan yang dibawa oleh PROTÉGÉ, KUSKOP melalui INSKEN terlibat dalam program membangunkan bakat peserta.

Menerusi sesi bimbingan ini, semua peserta dapat memperhalusi idea perniagaan, menguasai kemahiran mengenal pasti kehendak pasaran dan memperkukuh strategi pembentangan secara profesional.

Tokoh korporat iaitu Pengerusi Rinani Group Berhad, Datuk Seri Azerai Ahmad merangkap Alumni UUM 1997 (Perakaunan) turut hadir untuk Sesi Pendedahan Industri yang menjadikan program ini sangat relevan kepada pembangunan kemahiran keusahawanan generasi muda selain memberi inspirasi kepada peserta.

Pada sesi sebelah pagi, Datuk Seri Azerai menekankan pentingnya sifat keberanian untuk memulakan langkah sebagai usahawan selain mengamalkan disiplin pengurusan kewangan serta kemampuan menterjemah ilmu akademik kepada penyelesaian industri sebenar.

Majlis penutupan dan Penyampaian Penghargaan disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Ekosistem Keusahawanan KUSKOP, Dr. Salmah Sathiman.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program bagi tahun ini yang berjalan lancar dan mencapai objektif yang telah ditetapkan.

“Program Jaguh Keusahawanan Nasional merupakan inisiatif penting kementerian dalam melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berpotensi tinggi, selari dengan agenda pembangunan ekosistem keusahawanan negara. Mahasiswa hari ini perlu berani meneroka peluang baharu dalam bidang High-Growth High-Value (HGHV), Orange Economy dan Blue Economy, sekali gus menjadi pencetus kepada ekonomi masa hadapan negara,” jelas Dr. Salmah.

Program tahun ini disertai pelajar dari pelbagai IPT awam, swasta dan institusi TVET Zon Utara termasuk UUM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Politeknik, Kolej Komuniti (KK), institut latihan dan kemahiran GiatMara, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM). – Noor Zafiera Ahmad Idris (Pelajar Pelatih Politeknik METrO Tasek Gelugor)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button