Campus

Bengkel penerbitan buku bersama Dewan Bahasa dan Pustaka kukuhkan budaya penulisan di UUM

Gambar oleh Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab

SINTOK, 21–22 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh budaya penulisan ilmiah apabila seramai 32 peserta daripada enam pusat pengajian menyertai Bengkel Penerbitan Buku yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL) dan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bengkel selama dua hari itu berlangsung dalam suasana interaktif serta mendapat sambutan memberangsangkan daripada kalangan pensyarah dan penyelidik.

Fasilitator bengkel, Puan Siti Maizatul Rozihani Ikhsan dari DBP, berkongsi pengalaman luas beliau dalam bidang penerbitan dengan memberikan pendedahan menyeluruh mengenai proses penghasilan buku bermula daripada penyediaan manuskrip, teknik penulisan yang berkesan sehinggalah kepada aspek penerbitan dan pengedaran.

Peserta turut diberi bimbingan khusus tentang cara memastikan karya mereka memenuhi piawaian akademik serta mampu menarik minat pembaca umum.

Menurut Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab, Timbalan Dekan IBS selaku wakil penganjur, bengkel ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemahiran penulisan warga akademik, malah diharap dapat menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih banyak penerbitan ilmiah berkualiti dari UUM.

Beliau turut menambah bahawa DBP kini sedang melaksanakan program penerbitan buku agama, di mana DBP berperanan sebagai hab penerbitan buku agama di Malaysia bermula tahun 2025 melalui dana Inisiatif Belanjawan Tahunan (IBT) 2025 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2025.

Bengkel ini menegaskan komitmen UUM dalam membudayakan penulisan ilmiah serta menyokong aspirasi DBP untuk memperluas penerbitan dalam bahasa kebangsaan di samping meningkatkan wacana ilmu dalam masyarakat. Sepanjang bengkel, setiap peserta turut menyiapkan Kertas Cadangan Judul (KCJ) untuk dihantar kepada DBP bagi dipertimbangkan penerbitannya. – Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button