Campus

Alumni Gamblers SKB perkukuh jaringan alumni dan sokong pembangunan pelajar

Gambar Pusat Alumni

SINTOK, 14 Julai 2026: Program Homecoming Alumni Gamblers SKB & Sukan Bersama Pelajar berjaya menghimpunkan seramai 50 alumni daripada pelbagai kohort dalam usaha mengeratkan hubungan alumni serta mencungkil bakat baharu sukan ragbi dalam kalangan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri serta mantan Pengarah Pusat Sukan UUM, Shafferi Rejab.

Pusat Alumni UUM bertindak sebagai penganjur bersama dengan menyelaras pengurusan kewangan serta tajaan daripada beberapa rakan strategik, antaranya Datascience, Labor Manta Engineering, Mr Lok Lok, Adabi dan beberapa penaja lain. Pusat Alumni UUM turut menaja Majlis Makan Malam Homecoming Gamblers.

Sebagai tanda komitmen terhadap kebajikan pelajar, Alumni Rugby Gamblers SKB turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada Pusat Alumni UUM.

Pengurus Kanan, Celestica Malaysia Sdn. Bhd., Muhamad Hatta Ab Rahman yang merupakan alumni Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (1998) berkata, program Homecoming Alumni Gamblers SKB membuktikan semangat kebersamaan dan komitmen tinggi alumni dalam menyumbang kembali kepada alma mater melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada universiti dan pelajar.

“Program seperti ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan alumni, malah turut membuka ruang kepada alumni untuk berkongsi pengalaman, kepakaran dan menyokong pembangunan pelajar.” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan jawatankuasa penganjur, penaja serta semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan program ini.

“Semoga jalinan kerjasama antara alumni dan universiti terus diperkukuhkan demi manfaat warga UUM,” katanya. – Ahmad Amsyar Abd Razak

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button