Anak muda gegar Kem Sintok,UUM!
Berita dan gambar Mej (B) Norzilah Aziz
SINTOK, 20 April 2026: “ISLAH, MENYERLAH!” Begitulah gamatnya laungan semangat warga pelajar Sekolah Menengah Agama Islah, Pendang yang telah berjaya menelusuri latihan pengukuhan spiritual, mental, dan fizikal menerusi program Kem Kepimpinan Islah Madani (KeKISM} 2026.

Program selama tiga hari dua malam ini telah diadakan di Kem Sintok, Universiti Utara Malaysa (UUM) ini telah dianjurkan oleh Kumpulan Pakar Perunding dari pelbagai bidang kepakaran di UUM, Persatuan Wanita UUM (SUTRANITA) dan Pusat Kokurikulum UUM.
Pengarah Program merangkap Komandan Kem Latihan, Mej (B) Norzilah Aziz berkata, program ini diadakan untuk melatih dan menerapkan nilai kepimpinan, semangat kerjasama berpasukan, serta membina jati diri dalam kalangan generasi baharu.
Program yang melibatkan kumpulan pelajar terpilih seramai 40 peserta lelaki, 42 peserta wanita dan 12 guru pengiring ini telah turut mendapat kerjasama bantuan jurulatih dan logistik dari pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di bawah Unit Kemahiran Hidup dan Pertolongan Cemas (KHPC) UUM, dan juga penajaan dari SMA ISLAH, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan juga Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) UUM.

Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Dr Za’im Ahmad berkata, program ini telah berjaya memberi pendedahan kepada peserta berkenaan penerapan nila-nilai positif masyarakat madani yang cintakan bangsa dan tanahairnya.
Menurutnya, ia berpotensi untuk diangkat sebagai program berskala besar dan berterusan demi masa hadapan para pelajar sekolah menengah sekitar negeri Kedah.
Ia turut diakui oleh Pemangku Pengetua SMA Pendang, Nur Syafiqah Zainol Abidin yang menyatakan program ini telah memberi impak dan pengalaman baharu dalam kalangan pelajar supaya lebih berdisiplin, berkeyakinan, menghargai para guru dan para sahabat.

“Pihak sekolah sepatutnya mengambil kesempatan untuk bergandingan dengan pihak universiti dalam usaha berterusan membangunkan modal insan,” katanya.
Penyelaras Unit Kemahiran Hidup dan Pertolongan Cemas (KHPC) UUM, Mej. Ts. Nor Hissam Sulaiman pula menyatakan, kepakaran pembangunan spiritual dan fizikal yang ada dalam pasukan beruniform boleh diterapkan dalam kalangan masyarakat untuk membentuk keperibadian insan yang lebih berwibawa.
Katanya, inisiatif menggandingkan pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan para masyarakat merupakan program berimpak tinggi bukan hanya kepada pihak universiti khususnya, tetapi juga kepada negara amnya.
Upacara penutupan program ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed di mana beliau telah mengingatkan peserta keperluan menuntut ilmu dan perjuangan hidup, haruslah didahului dengan adab.
“Melalui adab, setiap insan akan menghargai ilmu yang mampu membentuk kekuatan ketamadunan manusia,” tegasnya.
Turut hadir dalam program ini ialah Penyelaras IPIZ, Dr. Amirul Haqeem Abd Ghani dan Pegawai Bahagian Pengurusan Latihan Pertahanan Awam Negeri Kedah, Lt (PA) Md Saifudin Saad.



