Campus

Bengkel Pemantapan JHEA perkukuh kecekapan pengurusan dan kesejahteraan warga kerja

Gambar Mohd Fuad Hamid dan Shahrul Anuar Hanapi

SINTOK, 4 Disember 2025: Bengkel Pemantapan Jabatan Hal Ehwal Akademik (JHEA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berlangsung pada 1 dan 2 Disember lalu di EDC UUM.

Program ini menumpukan usaha memperkukuhkan tadbir urus akademik, memperkemaskan proses kerja serta meningkatkan kesejahteraan mental warga jabatan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd Sani, di mana dalam ucapannya menegaskan bahawa JHEA merupakan ‘backbones’ pengurusan akademik universiti.

Beliau menekankan bahawa setiap warga harus memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan, responsif dan berimpak tinggi.

Menurutnya, kecekapan warga JHEA perlu sentiasa diperkasakan agar selari dengan perkembangan pesat pendidikan tinggi, sekali gus memastikan perkhidmatan yang diberikan kekal relevan dan berkualiti.

Dr. Azizuddin turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JHEA atas komitmen berterusan dalam menjayakan agenda kecemerlangan akademik universiti.

Bengkel selama dua hari ini memberi tumpuan kepada sesi perbincangan penambahbaikan proses pengurusan akademik, peningkatan sistem penyampaian serta pengenalpastian isu-isu kritikal yang memerlukan tindakan strategik.

Selain itu, elemen pembangunan sahsiah dan kesejahteraan mental turut diberi penekanan melalui sesi bimbingan yang dikendalikan oleh Pusat Kaunseling UUM, diterajui Pegawai Psikologi, Noorul ‘Adilah Che Hamzah.

Pengarah JHEA, Azian Nafiah berkata, setiap warga JHEA memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem akademik yang cemerlang.

Beliau menyifatkan bengkel ini sebagai ruang untuk “mengisi semula kekuatan dalaman”, memperbaharui komitmen serta menyemai semangat baharu dalam menghadapi cabaran pengurusan akademik masa kini.

Beliau turut mengajak semua warga JHEA untuk terus bergerak sebagai satu pasukan yang bersatu hati, berfikir secara progresif dan bertindak dengan penuh integriti.

Dengan iltizam, kebijaksanaan kolektif dan kesungguhan dalam berkhidmat, jelasnya, JHEA mampu terus menjadi nadi penggerak kecemerlangan UUM pada masa hadapan. – Zainab Mat Rose

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button