Bengkel Pemerkasaan Kerangka Kualiti UUM perkukuh usaha pembangunan UUMQA
Gambar Anith Raihana Zahari
SINTOK, 15 Jun 2026: Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA) telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Kerangka UUMQ: Membudayakan Kualiti Lestari Ke Arah Reputasi Akademik pada 11 Jun lalu di EDC-UUM.
Bengkel ini telah dihadiri oleh Pengarah PPQA, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar; Timbalan Pengarah Bahagian Akreditasi Antarabangsa (IAD), Prof. Dr. Natrah Saad; Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Kualiti, Prof. Madya Dr. Ku Maisurah Ku Bahador, serta pengurus-pengurus PPQA.

Dr. Hassan berkata, bengkel ini diadakan bertujuan memperkukuhkan usaha pembangunan Kerangka Kualiti Universiti Utara Malaysia (UUMQ) yang komprehensif dan holistik bagi mencerminkan keseluruhan agenda pengurusan kualiti universiti yang diterajui oleh Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA).
Menurutnya, Kerangka UUMQ dibangunkan berasaskan tiga komponen utama iaitu Pengurusan Sumber (Resource Management), Perjalanan Akademik Pelajar (Learner’s Journey) dan Jalinan Korporat (Corporate Connections).
Komponen Pengurusan Sumber merangkumi aspek pengurusan kewangan, sumber manusia, infrastruktur, teknologi serta tadbir urus dan pengurusan risiko yang menjadi tunjang kepada keberkesanan operasi universiti.
Komponen Perjalanan Akademik Pelajar pula memberi tumpuan kepada keseluruhan pengalaman pelajar bermula daripada proses kemasukan, pengajaran dan pembelajaran, pembangunan sahsiah dan kompetensi, perkhidmatan sokongan pelajar, sehinggalah kepada kebolehpasaran graduan.

Sementara itu, komponen Jalinan Korporat menekankan pengukuhan hubungan strategik dengan pelbagai pemegang taruh termasuk industri, alumni, badan profesional, agensi kerajaan dan rakan institusi di peringkat nasional serta antarabangsa dalam aspek pembangunan program akademik dan peluang kerjaya.
Gabungan ketiga-tiga komponen ini, yang diperkasakan melalui amalan dan budaya kualiti berterusan seperti ISO 9001:2015, EKSA serta pelbagai mekanisme jaminan kualiti institusi, berupaya menyokong kecemerlangan organisasi dan memperkukuhkan reputasi akademik UUM yang diiktiraf menerusi pelbagai akreditasi dan penarafan di peringkat kebangsaan serta global.
Bengkel tersebut turut melibatkan sesi perbincangan kumpulan bagi memetakan komponen UUMQ dengan Pelan Strategik Universiti, sekali gus memastikan setiap elemen kualiti dan akreditasi menyokong pencapaian visi, misi dan hala tuju strategik universiti.

Selain itu, peserta turut mengenal pasti peluang penambahbaikan terhadap proses dan prosedur sedia ada bagi memperkukuh amalan kualiti serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan universiti pada masa hadapan.
Turut diadakan slot bersama Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat (BPPK) serta Bahagian Risiko bagi memberikan pandangan serta input strategik dalam memastikan pembangunan Kerangka Kualiti UUM (UUMQ) mengambil kira aspek tadbir urus, pengurusan risiko dan keselarasan dengan perancangan strategik universiti.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan PPQA dalam membudayakan kualiti lestari, memperkukuh sistem jaminan kualiti institusi serta memastikan UUM terus unggul sebagai sebuah universiti yang berdaya saing dan bereputasi tinggi di persada global. – Prof. Madya Dr. Rosli Mohamad



