Campus

Bounce Of Hope pupuk nilai kasih sayang dan kepedulian sosial

Gambar Aus Korni Yahaya

SINTOK, 17 Mei 2026: Penghuni Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Anak Asnaf (RUKAYDA) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjayakan program Bounce Of Hope, Ping Pong Development Program yang berlangsung di Arena Sport, Pusat Sukan UUM dalam usaha memberi pendedahan asas sukan ping pong serta menyemai nilai kasih sayang dan keprihatinan sosial dalam kalangan peserta.

Program anjuran Kelab Ping Pong UUM itu melibatkan penyertaan seramai 30 ahli kelab bersama 10 penghuni RUKAYDA UUM.

Turut hadir memeriahkan program ialah penasihat Kelab Ping Pong UUM, Juhaina Che Juhari; Ketua Warden RUKAYDA, Aus Korni Yahaya dan Ketua Unit Kebajikan dan Dakwah Pusat Islam UUM, Muhammad Syazwan Menon.

Juhaina berkata, antara objektif utama program adalah untuk memberikan pendedahan berkaitan sukan ping pong termasuk teknik asas permainan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar dan anak-anak yatim.

Menurutnya, program ini turut bertujuan memupuk rasa tanggungjawab sosial serta menyemai nilai kasih sayang dalam kalangan peserta.

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan beberapa teknik permainan ping pong menerusi sesi latihan dan aktiviti interaktif yang dikendalikan oleh ahli Kelab Ping Pong UUM.

Sementara itu, peserta dari RUKAYDA UUM, Muhammad Rayyan Aqeef Mohd Redza Azmeer berkata, dia berasa gembira kerana dapat mempelajari sukan ping pong selain berpeluang berkenalan dengan ramai pelajar.

“Program ini sangat menyeronokkan dan saya dapat belajar cara bermain ping pong dengan lebih baik,” katanya.

Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri berharap program berbentuk pembangunan sukan dan kebajikan seperti ini dapat diteruskan secara berkala bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari sudut sahsiah, kepimpinan dan keprihatinan sosial.

Beliau turut berharap hubungan antara pelajar dan komuniti khususnya anak-anak yatim dapat terus diperkukuhkan melalui aktiviti yang memberi manfaat serta nilai positif kepada semua pihak.

Program tersebut diharap dapat menjadi medium memperkukuhkan hubungan komuniti kampus serta membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan penyayang. – Nor Azlinah Zaini

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button