Campus

BPMSOC perkukuh persediaan kerjaya pelajar SOG melalui perkongsian alumni

Gambar JK Media Program

SINTOK, 8 Julai 2026: Persatuan Pengurusan Awam (BPMSOC) dengan kerjasama Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) telah menganjurkan Program Academic & Career Excellence Series 2026 pada Jun lalu di Dewan Seminar B, Kompleks Konvensyen, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program yang merupakan platform memperkukuhkan persediaan kerjaya pelajar melalui perkongsian alumni dan pendedahan berkaitan kebolehpasaran graduan itu berjaya menghimpunkan seramai 75 pelajar SOG terdiri daripada pelajar tahun akhir yang bakal menjalani latihan praktikum serta memasuki alam pekerjaan dalam masa terdekat.

Program yang telah dirasmikan oleh Pengarah Institute of Local Government Studies (ILGS), Prof. Madya Dr. Nur Syakiran Akmal Ismail yang turut menampilkan dua penceramah jemputan iaitu Pensyarah Kanan di SOG, Dr. Low Kah Choon dan Eksekutif di Centre for Student Affairs and Alumni (CSAA), Albukhary International University (AIU), Muhammad Faiz Jelani. Kedua-dua penceramah merupakan alumni Program Sarjana Muda Pengurusan Awam, SOG.

Turut hadir memberikan sokongan terhadap penganjuran program ini ialah Penyelaras Praktikum Program Sarjana Muda Pengurusan Awam, SOG, Dr. Siti Noor Shamilah Misnan dan Penasihat BPMSOC, SOG, Dr. Nur Fariha Mohd Noor.

Dr. Nur Fariha berkata, program ini bertujuan membimbing pelajar memperkukuhkan kebolehpasaran diri melalui pendedahan berkaitan penyediaan resume, persediaan temu duga dan pembangunan kompetensi yang relevan dengan keperluan majikan masa kini.

Menurutnya, selain mendapat panduan praktikal daripada penceramah jemputan, peserta turut memperoleh gambaran awal tentang realiti dunia pekerjaan melalui perkongsian pengalaman alumni, khususnya berkaitan latihan praktikal dan peralihan daripada alam universiti ke alam kerjaya.

Pengarah Program, Danylita Mang berkata, program ini dianjurkan sebagai salah satu inisiatif untuk membantu pelajar membuat persediaan yang lebih rapi sebelum menamatkan pengajian dan memasuki pasaran kerja yang semakin kompetitif.

“Program ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pelajar dalam meningkatkan keyakinan diri, memperkukuh kemahiran profesional serta membantu mereka menghasilkan resume yang berkualiti dan menepati kehendak majikan,” katanya.

Penganjuran Academic & Career Excellence Series 2026 diharapkan dapat menjadi platform berterusan dalam memperkasakan pembangunan akademik dan kerjaya pelajar, sekali gus melahirkan graduan yang berdaya saing, berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan selaras dengan aspirasi Universiti Utara Malaysia. – Danylita Mang

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button