Campus

BPMSOC, SOG tarik penyertaan 319 pelajar UUM dalam Program ‘Consistency Over Perfection’

Gambar JK Media Program

SINTOK, 8 Julai 2026: Exco Kerohanian dan Kebajikan, Persatuan Pengurusan Awam (BPMSOC), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) telah menganjurkan Program ‘Consistency Over Perfection’ secara dalam talian menerusi platform Cisco Webex pada Jun lalu sebagai inisiatif membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan akhir.

Program yang berjaya menarik penyertaan seramai 319 pelajar daripada pelbagai pusat pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) ini menunjukkan keprihatinan terhadap kepentingan persediaan akademik, pengurusan diri dan pembinaan motivasi menjelang peperiksaan akhir.

Bertemakan kepentingan konsistensi dalam mencapai kejayaan, program ini menampilkan dua ahli panel jemputan iaitu Kaunselor Pelatih dari Pusat Kaunseling, Hal Ehwal Pelajar (HEP), Shuhaila Nadzreen Mohammad Shokri dan pelajar tahun akhir Program Sarjan Muda Pengurusan Awam, Renuga Mahandran yang juga merupakan penerima Anugerah Cemerlang Akademik dan Kokurikulum, SOG.

Menerusi sesi perkongsian tersebut, peserta didedahkan kepada konsep perfectionism serta kesannya terhadap pembelajaran dan kesejahteraan diri.

Panel turut menekankan bahawa kejayaan akademik tidak semestinya dicapai melalui usaha yang sempurna, sebaliknya melalui amalan yang konsisten, penetapan matlamat yang realistik, pengurusan tekanan yang baik dan strategi pembelajaran yang berkesan.

Perkongsian ini memberi panduan kepada mahasiswa untuk menghadapi cabaran akademik dengan lebih yakin, tenang dan sistematik, khususnya menjelang peperiksaan akhir.

Pengarah Program, Qurratu’ain Balqis Tamrin berkata, program ini dianjurkan bagi memberi kesedaran kepada pelajar bahawa kejayaan bukanlah hasil daripada usaha yang sempurna semata-mata, sebaliknya dibina melalui tindakan kecil yang dilakukan secara konsisten dan berterusan.

“Melalui program ini, kami berharap para peserta dapat meningkatkan motivasi, mengurus masa dengan lebih berkesan serta membina keyakinan diri dalam menghadapi cabaran akademik, khususnya menjelang peperiksaan akhir,” katanya.

Berdasarkan maklum balas yang diterima, majoriti peserta menyifatkan program ini sebagai sesi perkongsian yang bermanfaat kerana memberikan panduan praktikal berkaitan pembelajaran, pengurusan masa dan motivasi diri.

Selaras dengan tema “Consistency Over Perfection”, program ini membawa mesej bahawa kejayaan dapat dicapai melalui usaha yang konsisten, disiplin yang berterusan dan kesungguhan untuk terus memperbaiki diri. – Qurratu’ain Balqis Tamrin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button