Dr. Zambry ajak mahasiswa budayakan pembelajaran sepanjang hayat
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 9 Mac 2025: Universiti bukanlah tempat terakhir pelajar menuntut ilmu, sebaliknya ia adalah permulaan bagi manusia yang disuruh menuntut ilmu dari usia muda hingga ke liang lahad kerana pembelajaran sepanjang hayat tiada penghujungnya.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pelajar diminta untuk meneruskan pembelajaran dan mengejar ilmu walaupun telah bergraduasi kelak sebagai usaha untuk meningkatkan kemahiran, memperkasa diri dan memberi sumbangan kepada negara dan masyarakat.
Menurutnya, teruskan pelajari ilmu-ilmu baharu bagi meningkatkan nilai tambah dan memajukan diri.
“Objektif menjadi pelajar adalah untuk kembali dengan skrol di tangan tetapi ia tidak cukup sebagai seorang Muslim sekiranya pulang ke negara masing-masing.
“Sebenarnya terdapat pelbagai peluang dan ruang yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk rakyat meneroka dan mendalami ilmu sebagai satu usaha pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat ini termasuk pengajian kursus pendek, pengajian jarak jauh (PJJ) serta separuh masa,” katanya pada Program Kembara Ramadan KPT 2025/1446H di masjid Sultan Badlishah, awal pagi tadi.
Program santuni warga institusi pengajian tinggi (IPT) ini diilhamkan oleh Dr. Zambry untuk berinteraksi secara terus, bertukar pandangan, selain menyampaikan sumbangan kepada yang memerlukan.
Dr. Zambry berkata, beliau bersyukur kerana berpeluang untuk bersahur dengan pelajar UUM dalam bulan yang sangat istimewa dan bulan yang menguji tahap keimanan untuk menentukan tahap ketakwaan kepada Allah.
Menurutnya, pentingnya puasa ini kerana puasa dapat menjadikan insan yang bertakwa. Allah mewajibkan umat manusia untuk berpuasa kerana ingin melihat sejauh mana ketakwaan kepada-Nya.
Turut berlangsung adalah penyerahan sumbangan termasuk Yayasan Perkasa Siswa (YPS) yang memberikan sumbangan sebanyak RM250 kepada 20 pelajar berkeperluan menerusi Bantuan Kasih Ramadan YPS dan RHB Islamic Bank Berhad yang menyalurkan sumbangan hasil pelaksanaan inisiatif kad MySiswa bagi tahun 2024 bernilai RM105,340 kepada UUM.
Selain itu, sumbangan korporat bernilai RM200,000 serta sumbangan Program Bantuan Tajaan Makanan (Fidyah) Baitulmal sebanyak RM120,000 turut diserahkan kepada pengurusan UUM dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Pada kesempatan itu, Menteri Pendidikan Tinggi turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 daripada YPS kepada MPP bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti pelajar.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, program Kembara Ramadan ini merupakan platform utnk pelajar UUM berinteraksi dengan Menteri dan pengurusan KPT dan beliau berterima kasih kerana Dr. Zambry sudi meluangkan masa untuk bersahur bersama.
Menurutnya, UUM turut berterima kasih kepada syarikat dan industri yang menyalurkan sumbangan berjumlah kira-kira RM430,000 untuk kegunaan bagi membantu pelajar asnaf.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.