Campus

EDUMi beroperasi, satukan pengetahuan akademik dan industri

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 23 November 2025: Syarikat terbitan Universiti Utara Malaysia (UUM), EDUMi Sdn. Bhd. (EDUMi.my) kini memulakan operasi rasmi di Varsity Mall sebagai sebuah entiti perniagaan baharu UUM yang membawa misi strategik dan berimpak tinggi.

Majlis perasmian Pejabat Operasi EDUMi disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, pagi tadi.

Dr. Ram berkata, dalam era transformasi pendidikan tinggi, kejayaan sesebuah institusi bergantung pada keupayaan menghubungkan pengetahuan, inovasi dan pengkomersialan harta intelek.

Menurutnya, EDUMi.my, sebagai syarikat spin-off pertama UUM yang mendapat pengiktirafan Malaysian Digital, berada pada landasan kukuh dan menggabungkan penyelidikan, pembangunan teknologi serta mengkomersialkan harta intelek UUM.

Katanya, penubuhan EDUMi adalah hasil kerjasama antara dua pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) yang telah menghasilkan dua harta intelek dengan sokongan Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC).

“EDUMi.my membantu melalui penyelesaian strategik berasaskan kecerdasan buatan bagi membantu penempatan pelajar dengan lebih berkesan.

“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan nilai penyelidikan universiti tetapi turut memastikan harta intelek diterjemah menjadi penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri,” katanya.

Dr. Ram berkata, gabungan ini telah membuktikan bahawa kita tidak boleh bekerja secara silo. Kejayaan hanya dapat dicapai melalui kerjasama berpasukan, dan EDUMi.my adalah bukti jelas kejayaan tersebut.

Katanya, universiti komited menyokong lebih ramai staf akademik dan penyelidik untuk terus berkarya dan menghasilkan lebih banyak inovasi.

Sementara itu, Pengerusi EDUMi Sdn. Bhd., Mejar (B) Mahadi Shukor berkata, EDUMi membawa misi besar untuk memacu inovasi pendidikan, memperkukuh hubungan antara akademia dan industri serta memperluaskan peluang komersialisasi ilmu.

Menurutnya, kejayaan hari ini membuktikan bahawa universiti bukan sekadar pusat penyebaran ilmu, tetapi juga hab pembangunan bakat dan pemangkin ekonomi negara.

“Sebagai Syarikat Terbitan UUM, EDUMi.my bergerak dengan matlamat menyediakan modul akademik bertaraf global berasaskan inovasi dan teknologi termaju, selain menawarkan perkhidmatan perundingan yang memenuhi keperluan semasa di dalam dan luar negara.

“Saya berharap gabungan kepakaran akademik UUM dan pengalaman industri pasukan EDUMi akan melahirkan produk serta program yang berkualiti tinggi, relevan dan berimpak besar,” katanya.

Mahadi berkata, EDUMi optimis menjadi platform penyatuan pengetahuan akademik merentasi bangsa dengan Malaysia sebagai pusat penghantaran ilmu.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan teguh universiti dan rakan industri amat penting dalam memperkukuhkan kedudukan EDUMi sebagai syarikat terbitan UUM yang kompetitif dan berdaya tahan.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan dan geran penyelidikan UUM, diikuti lawatan ke pejabat baharu EDUMi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif EDUMi Sdn. Bhd., Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Jaaffar yang juga Pensyarah Kanan SBM; Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad; ahli lembaga pengarah serta pegawai kanan EDUMi dan UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button