Forum ASBES-STOP NOW perkasa peranan belia dalam tangani isu asbestos
Berita dan gambar Shurendar Seva Kumar
SINTOK, 7 Julai 2026: Forum ASBES-STOP NOW: The Air You Trust Matters menjadi platform perkongsian ilmu bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya asbestos serta memperkasakan peranan belia dalam menyampaikan mesej kesihatan awam kepada masyarakat.
Program tersebut dianjurkan oleh pelajar SCCAK2073 Perhubungan Awam Kumpulan B, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Consumers’ Association of Penang (CAP).
Forum yang merupakan antara pengisian utama Kempen Kesedaran ASBES-STOP NOW ini dilaksanakan sepanjang bulan Jun menghimpunkan pelajar UUM, komuniti kampus serta 35 murid bersama empat guru dari Sekolah Kebangsaan Batu 8, Changlun.

Penyertaan pelajar sekolah memberi peluang kepada generasi muda memperoleh pendedahan awal mengenai isu asbestos dan kepentingan menjaga kesihatan persekitaran.
Forum menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Consumers’ Association of Penang (CAP), Mageswari Sangaralingam dan Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM, Hanan Sofea Ahmad Zaki sebagai panel jemputan. Kedua-dua panel berkongsi pandangan mengenai risiko pendedahan asbestos serta peranan belia dalam memanfaatkan media untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.
Mageswari berkata, asbestos masih menjadi isu kesihatan awam yang memerlukan perhatian serius walaupun penggunaannya semakin dikawal di banyak negara.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih serta mengamalkan langkah keselamatan apabila berhadapan dengan bahan yang berpotensi mengandungi asbestos.
Sementara itu, Hanan Sofea menegaskan bahawa golongan belia mempunyai pengaruh yang besar dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat melalui media sosial.
Menurutnya, penggunaan platform digital secara bertanggungjawab mampu membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu-isu kesihatan awam seperti asbestos.
Sesi forum berlangsung secara interaktif apabila para peserta mengambil peluang mengemukakan pelbagai soalan kepada panel jemputan. Perbincangan tertumpu kepada cara mengenal pasti risiko asbestos, langkah pencegahan serta pendekatan komunikasi yang berkesan dalam mendidik masyarakat.
Selain forum, peserta turut mengunjungi pameran kesedaran yang memaparkan maklumat berkaitan asbestos, kesan pendedahan terhadap kesihatan dan kepentingan pengesanan awal. Pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan bagi menggalakkan penyertaan aktif dalam kalangan peserta.

Program diteruskan dengan Sesi Apresiasi sebagai tanda penghargaan kepada panel jemputan, rakan kolaborasi, guru pengiring serta semua jawatankuasa yang telah menjayakan kempen. Penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata menjadi simbol penghargaan atas sokongan yang diberikan sepanjang pelaksanaan program.
Pengarah Program, Shurendar Seva Kumar berkata, pemilihan isu asbestos sebagai tema kempen dibuat kerana topik tersebut masih kurang diberi perhatian oleh masyarakat walaupun risikonya terhadap kesihatan adalah serius.
Shurendar berkata, hasil penyelidikan awal yang dijalankan mendapati ramai masih tidak mengetahui bahawa asbestos boleh ditemui pada bangunan lama dan bahan binaan tertentu.
“Kami mahu membawa isu yang jarang diperkatakan kepada masyarakat. Sebagai pelajar perhubungan awam, kami percaya komunikasi yang berkesan mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu kesihatan yang sering dipandang ringan,” katanya.
Shurendar berharap forum seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih banyak agensi, institusi pendidikan dan komuniti setempat.
Menurutnya, kerjasama pelbagai pihak amat penting bagi memastikan mesej kesedaran mengenai asbestos dapat disampaikan secara lebih meluas dan berterusan.
Forum ASBES-STOP NOW: The Air You Trust Matters membuktikan bahawa pelajar mampu mengaplikasikan ilmu perhubungan awam melalui penganjuran program yang memberi manfaat kepada masyarakat dan diharapkan dapat melahirkan komuniti yang lebih peka terhadap bahaya asbestos serta memperkukuh peranan belia sebagai agen perubahan dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan bertanggungjawab.



