From Campus to Career persiap diri pelajar bagi melangkah ke alam kerjaya
Berita dan gambar Nur Anis Farisya Mohd Faizol dan Nur Arina Mahadi
SINTOK, 17 Mei 2026: Inapan Siswa MISC melalui Biro Keusahawanan dan Kepimpinan di bawah Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) hasil kerjasama bersama Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia dan Syarikat Great Eastern telah berjaya menganjurkan program From Campus to Career: How to Prepare Yourself for Internship & Beyond pada 12 Mei 2026 (Selasa) yang bertempat di Dewan Serbaguna BSN, Universiti Utara Malaysia (UUM). Program ini bertujuan untuk mempersiapkan diri pelajar bagi melangkah ke alam kerjaya, sekali gus menjadikannya sebagai platform utama dalam memperkasakan kemahiran insaniah dan memperkukuh kebolehpasaran graduan.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Shafiq Bin Mansor, penganjuran program ini menjadi medium penting dalam memberi pendedahan awal kepada mahasiswa tentang realiti sebenar dunia pekerjaan dan keperluan industri semasa. Ilmu-ilmu yang dikongsikan oleh pihak Great Eastern diharapkan dapat menyuntik semangat serta inspirasi kepada mahasiswa untuk lebih proaktif dalam merancang hala tuju kerjaya pada masa depan.
Program ini menyuntik semangat pelajar melalui sesi ceramah kerjaya yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Cik Kee Yee Worn, yang juga merupakan seorang alumni Universiti Utara Malaysia (UUM). Beliau kini berkhidmat sebagai Penasihat Insurans daripada Together Advisory Great Eastern.

Program ini turut disempurnakan dengan perasmian oleh Pegarah Pusat Alumni, UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Binti Abu Bakar. Melalui penyertaan aktif seramai 50 orang pelajar, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai hala tuju selepas menamatkan pengajian dan cabaran dunia pekerjaan sebenar.

Sepanjang program ini berlangsung, para peserta telah diberikan pendedahan berkaitan kepentingan mencari peluang kerjaya secara proaktif, menguasai literasi digital dan membina reputasi awal sebelum menempuhi alam pekerjaan pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, Program From Campus to Career: How to Prepare Yourself for Internship & Beyond telah berjaya mewujudkan suasana positif dan inklusif. Disamping, membantu mahasiswa membuat persediaan yang lebih rapi dalam menghadapi latihan industri dan alam kerjaya pada masa akan datang.



