FTM 2026 capai 15,000 pengunjung, bukti mahasiswa berimpak tinggi
Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 24 April 2026: Fiesta Tradisi Milenial (FTM) 2026 anjuran Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mencatat kehadiran kira-kira 15,000 pengunjung sepanjang enam hari penganjurannya, sekali gus membuktikan kemampuan mahasiswa dalam mengendalikan program berskala besar dan berimpak tinggi.
Majlis Perasmian Penutup FTM 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri di Dataran Budaya, Pusat Budaya dan Seni, UUM malam tadi.

Dalam ucapannya, beliau berkata penganjuran FTM bukan sekadar aktiviti kokurikulum berbentuk sosiobudaya, malah menjadi manifestasi kepada pembentukan kemenjadian pelajar secara holistik.
Menurutnya, universiti kini bukan lagi sekadar pusat kecemerlangan akademik, sebaliknya berperanan sebagai nadi penggerak masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas komitmen tinggi dalam menjayakan program tersebut.

“Keupayaan mahasiswa menguruskan program sebesar ini menunjukkan mereka memiliki kematangan kepimpinan serta keupayaan menterjemahkan visi universiti dalam bentuk praktikal yang berimpak tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program FTM 2026, Noor Alia Aina Mohamad Razuki berkata, pada tahun ini FTM berjaya menghimpunkan pelbagai rakan strategik yang bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan penganjuran program berkenaan.
“Sesungguhnya, anak muda yang memegang erat tradisinya adalah cerminan seorang pemimpin yang memahami asal-usulnya serta jelas arah tuju masa depannya.

“Kejayaan FTM 2026 selari dengan aspirasi untuk melahirkan graduan seimbang yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah,” katanya.
FTM 2026 turut menyaksikan jalinan kerjasama strategik yang kukuh antara pihak universiti dan pelbagai agensi serta rakan industri luar, termasuk sektor korporat, komuniti setempat dan badan bukan kerajaan. Kolaborasi ini bukan sahaja memperkasa aspek penganjuran dari segi penajaan, logistik dan promosi, malah turut memperluas impak program kepada masyarakat secara lebih menyeluruh, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan sosial dan budaya.

Program FTM 2026 yang berlangsung selama enam hari itu menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesenian yang berjaya menarik penyertaan pelajar serta masyarakat setempat.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pusat Budaya dan Seni, Asmawiza Haji Hussin; Majlis Pengerusi Pengetua Inasis, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif ANR Rancak merangkap rakan strategik Fiesta Tradisi Milenial 2026, Cik Mimiey; Ketua Pegawai Eksekutif Kedai Emas Cik Abang, Muhd Nur Aiman Mohmad Nazir; Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar, Muhammad Syahmi Reza; barisan Majlis Pengetua Inasis serta pegawai-pegawai kanan universiti.



