Campus

IBS anjur bengkel penyediaan proposal geran berkualiti secara kumpulan penyelidikan

Berita dan gambar oleh: Wahidah Shari

SINTOK, 28 April 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Proposal Geran Berkualiti yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang di Bilik Roupellia, EDC UUM.

Bengkel ini melibatkan penyertaan seramai 21 orang pensyarah IBS yang mewakili Kumpulan Penyelidikan (Research Group) masing-masing, dengan matlamat utama untuk menghasilkan proposal geran penyelidikan yang berkualiti dan berdaya saing.

Program dimulakan dengan sesi taklimat oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab yang menghuraikan skop geran yang akan dimohon, termasuk keperluan, fokus serta kriteria penilaian. Taklimat ini menjadi panduan penting kepada peserta dalam merangka hala tuju proposal yang selari dengan kehendak pihak pemberi geran.

 

Selesai sesi taklimat, bengkel diteruskan dengan aktiviti perbincangan secara kumpulan dalam kalangan Kumpulan penyelidikan. Setiap kumpulan memberi tumpuan kepada pembangunan draf proposal masing-masing dengan meneliti aspek utama seperti latar belakang kajian, pernyataan masalah, objektif, metodologi serta impak penyelidikan.

Sebagai sebahagian daripada pengukuhan kualiti proposal, sesi pembentangan oleh setiap kumpulan penyelidikan telah dilaksanakan. Melalui sesi ini, setiap kumpulan membentangkan cadangan penyelidikan mereka untuk mendapatkan input, pandangan serta cadangan penambahbaikan daripada kumpulan lain. Pendekatan ini mewujudkan suasana kolaboratif yang membolehkan perkongsian idea secara menyeluruh dan konstruktif.

Bengkel ini memberi impak positif apabila setiap kumpulan berjaya menghasilkan draf awal proposal yang lebih tersusun dan berfokus. Selain meningkatkan kefahaman terhadap proses penyediaan geran, program ini turut memperkukuh kerjasama antara ahli kumpulan penyelidikan serta menyemai budaya penilaian rakan sebaya dalam usaha meningkatkan kualiti penyelidikan.

Penganjuran bengkel ini diharap dapat menyumbang kepada peningkatan kadar kejayaan permohonan geran dalam kalangan pensyarah IBS, di samping memperkasa kecemerlangan penyelidikan di peringkat pusat pengajian dan universiti secara keseluruhan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button