Campus

IBS berkolaborasi bersama ICIFE perkasa modal insan kewangan Islam

Gambar Dr. Nor Syahidah Ishak

SINTOK, 10 Ogos 2026: Lebih 20 peserta telah menyertai Kursus Train the Trainers (TOT) BNM Policy Document on Ijarah yang dianjurkan melalui kerjasama antara Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan International Council for Islamic Finance Educators (ICIFE).

Program ini merupakan salah satu inisiatif strategik dalam memperkukuh kompetensi dan kepakaran tenaga akademik dalam bidang kewangan Islam, khususnya berkaitan pelaksanaan kontrak Ijarah dalam industri kewangan Islam.

Kursus berkenaan dikendalikan oleh Prof. Dr. Noraini Mohd Ariffin yang menyampaikan pengisian berkaitan BNM Policy Document on Ijarah: Risk Management and Accounting, manakala Prof. Datin Dr. Rusni Hassan menyampaikan modul berkaitan Polisi Dokumen Ijarah.

Program tersebut memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta berkaitan aspek teori, undang-undang, polisi dan perakaunan dalam produk kewangan Islam berasaskan kontrak Ijarah. Selain itu, peserta turut didedahkan kepada pelbagai isu dan perkembangan semasa yang berkaitan dengan pelaksanaan Ijarah dalam industri kewangan Islam, termasuk aspek pengurusan risiko, perakaunan dan kerangka kawal selia.

Penolong Naib Canselor UUM COB merangkap Dekan Pusat Pengajian Islam, Prof. Dr. Selamah Maamor berkata, penglibatan pensyarah dalam program pembangunan profesional serta kolaborasi bersama pihak industri amat penting bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kompetensi akademik.

Menurutnya, pensyarah perlu sentiasa memperkukuh pengetahuan serta meningkatkan penglibatan bersama industri dan masyarakat supaya ilmu dan pengalaman semasa dapat diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

“Usaha ini penting bagi memastikan pelajar memperoleh kualiti pengajaran dan pembelajaran yang terbaik, sekali gus melahirkan kader-kader Pusat Pengajian Islam dalam bidang perniagaan dan kewangan Islam yang lebih unggul, kompeten dan berketerampilan,” katanya.

Kursus berkenaan turut mendapat penyertaan lima orang peserta daripada Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), sekali gus memperlihatkan kepentingan jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan kepakaran dalam bidang kewangan Islam.

Penganjuran program ini digerakkan oleh Pengarah I-Wealth merangkap Exco ICIFE, Prof. Madya Dr. Mohd Zakhiri Md Nor yang memainkan peranan penting dalam mengendalikan dan menyelaras program melalui jaringan kerjasama strategik antara akademia dan institusi berkaitan kewangan Islam.

Jaringan strategik tersebut bukan sahaja membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan kepakaran, malah membolehkan tenaga akademik memperoleh pendedahan secara langsung terhadap perkembangan, keperluan dan cabaran semasa industri kewangan Islam.

Penganjuran kursus ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan strategik antara akademia dan industri serta meningkatkan keupayaan tenaga pengajar dalam memahami perkembangan terkini berkaitan Ijarah, pengurusan risiko, perakaunan dan kerangka kawal selia kewangan Islam.

Inisiatif seumpama ini juga selaras dengan usaha memperkasa ekosistem pendidikan kewangan Islam melalui perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman industri bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai asas teori yang kukuh, malah mampu memahami serta menangani isu sebenar dalam industri kewangan Islam. – Prof. Madya Dr. Mohd Zakhiri Md Nor

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button