IBS terima lawatan Audit Akreditasi Penuh Program BHalal Mod 3u1i
Berita dan gambar Dr. Norazilawati Md Dahlal
SINTOK, 12 Julai 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan Lawatan Audit Penilaian Akreditasi Penuh bagi Program Sarjana Muda Pengurusan Halal (BHalal) Mod 3U1i pada 22 hingga 24 Jun lalu.
Sesi penilaian ini diselaraskan bersama Pusat Swaakreditasi UUM (PSUUM) sebagai sebahagian daripada proses pemantapan jaminan kualiti akademik program.

Kejayaan pelaksanaan lawatan audit ini mencerminkan komitmen tinggi pelbagai pihak di peringkat pusat pengajian dan universiti dalam memastikan program yang ditawarkan memenuhi standard yang ditetapkan. Usaha ini disokong oleh kerjasama bersepadu barisan pensyarah IBS, staf pentadbiran IBS, serta penglibatan aktif pelajar yang telah memberikan sokongan menyeluruh sepanjang tempoh penilaian.
Pada hari pertama lawatan, panel penilai memberikan tumpuan kepada aspek pelaksanaan akademik dan ekosistem pembelajaran di kampus. Selain meneliti dokumen akademik program yang diselaraskan oleh Pengerusi Program, Dr. Norazilawati Md Dahlal dan Pengerusi Program (Industri), Dr. Nadiah Abdul Lateb, panel turut menjalankan pencerapan kelas bagi kursus BIMCN2043 Pengurusan Hospitaliti Halal yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Azizah Othman.
Pencerapan tersebut memberikan peluang kepada panel untuk menilai secara langsung mutu penyampaian, interaksi pengajaran dan pembelajaran, serta kesesuaian pendekatan pedagogi yang digunakan dalam program.

Panel penilai turut meninjau kemudahan sokongan akademik di UUM, termasuk perpustakaan, bagi memastikan infrastruktur yang disediakan menyokong keperluan pengajaran, pembelajaran dan pembangunan pelajar secara menyeluruh. Di samping itu, sesi libat urus bersama staf akademik dan wakil pelajar telah diadakan bagi memperoleh pandangan yang lebih menyeluruh tentang keberkesanan pelaksanaan program.
Pada hari kedua, fokus penilaian beralih kepada komponen Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan atau Work-Based Learning (WBL), yang merupakan teras utama pelaksanaan Mod 3U1i dalam Program BHalal. Lawatan ke premis rakan strategik industri IBS UUM memberi ruang kepada panel untuk menilai secara langsung keberkesanan integrasi pembelajaran akademik dengan pengalaman industri sebenar.
Dalam sesi lawatan industri tersebut, panel berpeluang meninjau perkembangan pelajar BHalal Kohort A231 yang sedang menjalani penempatan industri, iaitu Hazleeza Nasir di Rajin Food Industries Sdn. Bhd., Sungai Petani dan Nur Hurin Aina Shahanif di Yummyjoy Group Sdn. Bhd., Bukit Mertajam.
Kehadiran pelajar di lapangan memperlihatkan bagaimana pendekatan WBL dilaksanakan secara terancang dalam menyokong pembentukan kompetensi profesional dan kefahaman aplikasi halal dalam persekitaran industri sebenar.

Berdasarkan penilaian yang dijalankan, Ahli Panel Penilai yang diketuai oleh Dr. Wan Zulkifli Wan Hassan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Prof. Madya Ezani Yaakub dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) memberikan maklum balas yang amat positif terhadap pelaksanaan komponen WBL dalam program ini.
Pendekatan tersebut dilihat berupaya memperkukuh pengalaman pembelajaran pelajar melalui pendedahan langsung kepada amalan industri, sekali gus meningkatkan kerelevanan program dengan keperluan semasa sektor halal.
Lawatan audit ini diakhiri pada hari ketiga menerusi sesi Exit Meeting bersama pihak pengurusan IBS yang dihadiri oleh Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor serta Timbalan Dekan Akademik, Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof yang mewakili kepimpinan akademik dalam menyokong keseluruhan proses penilaian program ini.
Secara keseluruhannya, lawatan audit ini memperlihatkan bahawa Program BHalal Mod 3U1i dilaksanakan secara sistematik, tersusun dan responsif terhadap keperluan akademik serta industri. Maklum balas positif yang diterima, khususnya terhadap pelaksanaan WBL, mencerminkan keupayaan IBS dalam menggerakkan model pendidikan 3U1i secara berkesan ke arah melahirkan graduan pengurusan halal yang kompeten, holistik dan berdaya saing.



