Campus

IBS UUM terima kunjungan akademik delegasi Universitas Negeri Surabaya (UNESA), Indonesia

Gambar Muhamad Syamsul Akmal bin Mohd Nasir

SINTOK, 15 Jun 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan akademik daripada delegasi Fakultas Ekonomika dan Bisnis, Universitas Negeri Surabaya (UNESA), Indonesia yang diketuai oleh Dr. Clarashinta Canggih.

Lawatan yang melibatkan seramai 22 pensyarah UNESA ini bertujuan memperkukuhkan hubungan akademik serta meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.

Delegasi telah disambut oleh pihak pengurusan dan warga IBS dalam satu sesi rasmi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat FWD, IBS.

Sesi tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan penerangan mengenai perkembangan serta pencapaian IBS oleh Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor. Turut hadir ialah barisan penjawat utama IBS yang bersama-sama menjayakan sesi perbincangan serta perkongsian maklumat berkaitan hala tuju akademik dan pengantarabangsaan pusat pengajian.

Dalam sesi perbincangan dua hala yang berlangsung, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai pelbagai peluang kerjasama yang berpotensi untuk dilaksanakan pada masa hadapan.

Dr. Selamah berkata, antara fokus utama yang dibincangkan ialah mobiliti pelajar dan akademik, penganjuran persidangan antarabangsa secara bersama, kerjasama penyelidikan, serta usaha memperluaskan jaringan akademik antarabangsa yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.

Selain itu, delegasi UNESA turut diberi pendedahan mengenai program-program akademik yang ditawarkan oleh IBS, inisiatif pengantarabangsaan yang sedang dilaksanakan, serta pencapaian fakulti dalam bidang penyelidikan dan penerbitan.

Sesi ini turut membuka ruang kepada perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam memperkukuh kecemerlangan akademik serta pembangunan institusi pendidikan tinggi di peringkat serantau.

Menariknya, lawatan ini turut menyaksikan kehadiran Alumni IBS, Abdullah Muhammad Al-Kamal yang merupakan penerima tajaan Kementerian Agama Republik Indonesia (KEMENAG) dan mempunyai latar belakang akademik daripada Universitas Islam Negeri Sunan Ampel (UINSA), Surabaya.

Beliau yang telah berjaya menamatkan pengajian di IBS kini telah ditawarkan jawatan sebagai pensyarah di Universitas Negeri Surabaya (UNESA), sekali gus menjadi antara contoh kejayaan alumni antarabangsa IBS yang berjaya menempatkan diri dalam bidang akademik di institusi pengajian tinggi terkemuka di Indonesia.

Lawatan ini mencerminkan komitmen IBS UUM dalam memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan universiti melalui jaringan strategik dengan institusi pendidikan tinggi luar negara.

Diharapkan pertemuan ini akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai program kolaboratif yang dapat meningkatkan mobiliti akademik, produktiviti penyelidikan serta keterlihatan global kedua-dua institusi pada masa hadapan. – Dr. Muhamad Fikri Aziz

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button