Campus

IFEX@UUM 2026 BUKA PELUANG JALIN KERJASAMA SQS DENGAN UNIVERSITI ANTARABANGSA

Berita oleh: Rusya Iryanti Yahaya

Gambar oleh: Samsul Ariffin Abdul Karim dan Masnita Misiran Bakun

Sintok, 39 Oktober 2026 – International Faculty Exchange Week (IFEX@UUM 2026) telah berlangsung dari 24 hingga 30 Oktober 2026. Program anjuran Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dan Jabatan Sumber Manusia (JSM), Universiti Utara Malaysia (UUM), bertujuan memperkukuh hubungan akademik serta kerjasama strategik yang mampan dengan universiti antarabangsa melalui pertukaran ilmu, penyelidikan bersama serta mobiliti staf dan pelajar.

Seramai 19 pensyarah pelawat dari pelbagai negara telah menyertai program ini. Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah menerima kunjungan dua orang pensyarah pelawat, iaitu Prof. Dr. Muhammad Imran Asjad dari University of Management and Technology, Pakistan dan Dr. Kazeem Olalekan Aremu dari Usmanu Danfodiyo University Sokoto, Nigeria.

Sepanjang program IFEX@UUM 2026 berlangsung, kedua-dua pensyarah pelawat ini telah dibantu oleh pensyarah hos, iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim, Prof. Madya Dr. Masnita Misiran Bakun, Dr. Adnan Asghar dan Dr. Rusya Iryanti Yahaya.

Pelbagai aktiviti yang melibatkan pensyarah pelawat, staf akademik dan pelajar siswazah telah dianjurkan oleh SQS sepanjang program ini. Antaranya termasuklah program Meet the Scholars: Research & Academic Exchange dan Colloquium on Quantitative Sciences Across Frontiers: Research, Methods & Emerging Opportunities yang menjadi platform pertukaran ilmu dan perkongsian kepakaran antara staf akademik SQS dengan pensyarah pelawat.

Program-program ini menjadi platform untuk mengenal pasti kesepadanan bidang penyelidikan antara penyelidik SQS dengan pensyarah pelawat, di samping meneroka peluang jaringan akademik dan kerjasama strategik dalam penyelidikan, mendapatkan geran, penerbitan serta penyeliaan pelajar.

Di samping aktiviti akademik, pensyarah pelawat turut dibawa melawat ke Bilik STEM SQS bagi memberikan pendedahan kepada mereka tentang kemudahan, pendekatan serta pelbagai aktiviti STEM yang dilaksanakan oleh SQS.

SQS turut menganjurkan forum bersama pelajar siswazah yang bertajuk Mathematics Beyond the Classroom: From Mathematical Models to Real-World Problems. Forum ini memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang aplikasi model matematik dalam menyelesaikan permasalahan dunia sebenar, selain membuka ruang perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pensyarah pelawat yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Diharapkan penganjuran IFEX@UUM 2026 dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama antara SQS dengan universiti antarabangsa. Semoga hubungan akademik yang terjalin ini dapat terus diperkukuh melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) serta dikekalkan secara berterusan melangkaui tempoh penganjuran IFEX@UUM 2026.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button