Campus

INASIS Luar Kampus hasilkan replika tugu negara sempena sambutan kemerdekaan ke-68

Gambar oleh: INASIS Luar Kampus

SINTOK, 29 Ogos 2025: Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, Pejabat Inasis Luar Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil inisiatif kreatif dengan menghasilkan replika Tugu Negara menggunakan bahan terpakai.

Replika tersebut dibina menggunakan pelbagai bahan kitar semula seperti botol minuman, kotak terpakai, pinggan mangkuk pakai buang serta kotak telur. Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan semangat patriotisme, malah menyokong usaha kelestarian alam sekitar melalui penggunaan semula bahan buangan.

Menariknya, projek ini merupakan cetusan idea pelajar-pelajar On-Campus Job yang mahu menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan dalam kalangan komuniti Inasis Luar Kampus dengan cara kreatif dan lestari. Projek ini akhirnya berjaya direalisasikan dengan sokongan penuh pengetua serta seluruh staf Inasis Luar Kampus.

Menurut wakil pelajar, Izzah Amelia, objektif utama projek ini adalah untuk meningkatkan kesedaran komuniti universiti terhadap kepentingan kitar semula serta menyemai rasa kebanggaan terhadap Tugu Negara yang menjadi lambang perjuangan dan pengorbanan wira negara.

“Melalui penghasilan replika ini, kami berharap dapat mendidik masyarakat tentang kreativiti dalam kitar semula serta pada masa yang sama mengingatkan kita semua terhadap pengorbanan pejuang kemerdekaan,” katanya.

Replika Tugu Negara yang siap dibina itu dipamerkan sebagai ikon sambutan kemerdekaan di Inasis Luar Kampus. Usaha ini turut melibatkan kerjasama staf dan pelajar yang berganding bahu menyiapkan projek berkenaan dalam tempoh seminggu.

 

Inisiatif ini jelas mencerminkan nilai perpaduan, patriotisme dan tanggungjawab sosial yang selaras dengan aspirasi UUM dalam melahirkan mahasiswa berfikiran global, beridentiti nasional serta prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.

Dalam pada itu, Inasis Luar Kampus turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-68 kepada seluruh warga universiti dan masyarakat Malaysia. – Izzah Amelia

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button