Campus

Inasis TM bantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan dengan GEAR-UP TM 2.0: Student Success Kit 

Berita dan gambar Muhammad Amsyar Rozidi

SINTOK, 22 Julai 2026: Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS), Biro Latihan dan Akademik, Inapan Siswa (Inasis) TM, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program GEAR-UP TM 2.0: Student Success Kit sepanjang tempoh peperiksaan akhir semester bagi membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin dan bersemangat.

Program yang berlangsung dari 4 hingga 26 Julai yang diadakan di sekitar Inapan Siswa TM itu menyasarkan penyertaan daripada pelajar Inapan Siswa TM serta pelajar UUM yang lain.

Pengarah Program, Amsyar Shahmi Ahmad berkata, inisiatif ini bertujuan memberi sokongan kepada pelajar melalui penyediaan kit peperiksaan yang mengandungi alatan tulis, roti, air minuman dan gula-gula bagi membantu mereka kekal bertenaga serta fokus ketika mengulang kaji dan menduduki peperiksaan.

Menurutnya, ini adalah sebahagian daripada usaha pihak inasis untuk menjaga kebajikan dan memberi sokongan moral kepada pelajar sepanjang musim peperiksaan.

“Kita tidak mahu pelajar berasa tertekan atau mengabaikan kesihatan diri akibat jadual ulang kaji yang padat, sebaliknya apabila kita mengedarkan kit sokongan seperti ini, kita dapat membantu meringankan sedikit beban mereka serta membakar semangat untuk mereka memberikan yang terbaik dalam dewan peperiksaan,” katanya.

Pengagihan Student Success Kit telah dijalankan pada beberapa tarikh yang ditetapkan seperti yang dipaparkan pada poster program, bermula jam 8.00 hingga 9.00 pagi di hadapan Dewan TM serta parkir kenderaan Blok E. Sambutan yang diterima daripada para pelajar amat menggalakkan apabila ramai mengambil peluang mendapatkan kit yang disediakan secara percuma.

Pelaksanaan program ini bertujuan menyediakan bekalan makanan dan minuman ringan untuk membantu pelajar mengekalkan tenaga, di samping memberi sokongan moral dalam mengurangkan tekanan sepanjang musim peperiksaan. Selain itu, program ini turut meningkatkan motivasi dan keyakinan pelajar agar dapat menghadapi peperiksaan dengan lebih tenang dan bersedia.

Melalui penganjuran GEAR-UP TM 2.0: Student Success Kit, pihak Jawatankuasa Pembangunan Siswa dan Kebajikan bersama Biro Latihan dan Akademik, Pengetua serta Felo Inapan Siswa TM berharap usaha kecil ini dapat memberi impak positif kepada kebajikan mahasiswa.

Program ini membuktikan komitmen Inapan Siswa TM dalam memastikan kebajikan, kesejahteraan dan kecemerlangan akademik pelajar sentiasa menjadi keutamaan, selaras dengan usaha mewujudkan persekitaran kampus yang prihatin dan menyokong kejayaan setiap pelajar.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button