Campus

ISGUD UUMKL anjur webinar Pemupukan Nilai Kelestarian Melalui Sastera Kanak-Kanak

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Aizan Yaacob

KUALA LUMPUR, 24 Mei 2026: Institute of Sustainable Growth and Urban Development (ISGUD), Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) telah menganjurkan webinar bertajuk “Dari Cerita ke Kelestarian: Memupuk Nilai Melalui Sastera Kanak-Kanak di Malaysia” secara atas talian, hari ini.

Webinar tersebut menampilkan Prof. Dr. Md Sidin Ahmad Ishak yang merupakan Naib Presiden Malaysia Board on Books for Young People (MBBY) sebagai penceramah jemputan.

Program ini telah mendapat penyertaan daripada ahli akademik dan pelajar UUM yang bersama-sama membincangkan peranan sastera kanak-kanak dalam membentuk generasi yang lebih prihatin terhadap nilai kemanusiaan dan kelestarian alam.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Dr. Md Sidin menekankan bahawa karya sastera kanak-kanak bukan sekadar medium hiburan, malah berfungsi sebagai alat pendidikan yang berupaya menyemai nilai murni, empati serta kesedaran terhadap alam sekitar sejak usia muda.

Beliau turut membincangkan kepentingan cerita rakyat, buku bergambar dan karya kontemporari dalam memperkukuhkan identiti budaya, di samping mendidik kanak-kanak mengenai tanggungjawab sosial serta kepentingan penjagaan alam sekitar.

Penganjuran webinar ini selari dengan usaha ISGUD dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap pembangunan lestari melalui pendekatan pendidikan, budaya dan komunikasi yang lebih inklusif serta berimpak kepada generasi masa hadapan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button