Campus

Jabatan Keselamatan UUM terima dua Mitsubishi Triton, empat motosikal baharu

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 4 Ogos 2026: Jabatan Keselamatan Universiti Utara Malaysia telah menerima dua kenderaan utiliti 4×4, Mitsubishi Triton dan empat motosikal yang diserahkan Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed di Foyer Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin, petang ini.

Replika kunci kenderaan baharu itu diterima oleh Pengarah Jabatan Keselamatan, Mohamad Ezanee Yazid dengan disaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Turut serta, Bursar, Mohtar Hasim; Penasihat Undang-undang, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed; Ketua Pegawai Digital, Prof. Madya PMgr.Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid dan Pengarah Canselori, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi.

Dr. Ahmad Martadha berkata, penyerahan kenderaan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak universiti dalam memperkukuhkan keupayaan operasi Jabatan Keselamatan.

Menurutnya, kenderaan yang lebih moden dan bersesuaian akan meningkatkan kecekapan rondaan, mempercepatkan masa tindak balas terhadap insiden serta memperkukuhkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan.

“Dengan penambahan baru kenderaan ini termasuk empat motorsikal, menjadikan keseluruhan kenderaan dimiliki Jabatan Keselamatan adalah sebanyak 12 unit.

“Saya berharap agar semua aset yang diterima dimanfaatkan secara optimum, diurus dengan berhemah dan disenggara mengikut piawaian yang ditetapkan, malah warga Jabatan Keselamatan dapat meningkatkan profesionalisme, kompetensi dan budaya kerja berprestasi tinggi,” katanya pada Majlis Penyerahan Kenderaan Jabatan Keselamatan UUM.

Turut berlangsung gimik penyerahan kenderaan utiliti 4×4 Mitsubishi Triton dan motosikal baharu.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button